TEMERLOH: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa memantau dan bertindak tegas bagi memastikan ajaran sesat yang bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ) bertapak di negeri ini.
Tegas baginda, akidah ASWJ sudah diwartakan sebagai aliran yang mesti diamalkan semua umat Islam selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam yang bersidang pada 5 Mei 1996 yang turut menjadi pegangan rakyat negeri ini.
Al-Sultan Abdullah mengingatkan bahawa umat Islam hendaklah menghindari dan tidak terikut-ikut dengan ajaran menyeleweng daripada ASWJ lebih-lebih lagi yang meragukan serta sesat yang boleh merosakkan dan membatalkan akidah.
“Antara ajaran sesat seperti Si Hulk, Makrifat Ismail Ariffin atau Lepat, Millah Abraham, Masitah Perjalanan Mimpi yang Terakhir, Ayah Pin dan lain-lain yang difatwakan sesat.
“Rakyat Pahang jangan mudah terpengaruh dengan sebarang ajaran sesat dan. terus berpegang teguh kepada akidah ASWJ.
“Jangan mudah tertarik dan terpengaruh dengan ajaran-ajaran sesat ini. Ini akan memecahbelahkan rakyat, merosakkan pemikiran,” titah baginda semasa merasmikan Masjid As Salam Kampung Gontong Kelibang dan majlis berbuka puasa di pekarangan masjid itu di sini hari ini.
Mengulas berkenaan penyebaran ajaran sesat dibawa pengikut ‘Ayah Pin’ yang didakwa sudah merebak ke negeri ini, Al-Sultan Abdullah memaklumkan, pihak polis sedang menjalankan siasatan
Baginda turut meminta kerajaan negeri memantau operasi maahad tahfiz, pondok madrasah yang dibangunkan secara persendirian sama ada daripada aspek tenaga pengajar, keselamatan mahupun silibus pengajaran.
Tegas baginda, ini bagi mengelakkan penyebaran fahaman dan aliran yang songsang atau bertentangan dengan Islam sebenar serta berbentuk politik.
Selain itu, titah Al-Sultan Abdullah, selain Islam, silibus pembelajaran di maahad tahfiz, pondok, madrasah dan sekolah beraliran agama perlu juga didedahkan dengan silibus pengajian moden seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). – UTUSAN






