ISKANDAR PUTERI: Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang pengguna media sosial yang membuat hantaran komen di Facebook menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, polis setakat ini menerima satu laporan berkaitan kes berkenaan, dua hari lalu.
“Setakat ini kita belum dapat mengesan identiti pemilik akaun yang membuat hantaran komen berbaur perkauman itu, malah akaun itu juga telah disekat.
“Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ibrahim memberitahu, kes itu juga turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,
Sejak kelmarin, tular di media sosial tangkap layar hantaran komen berbaur perkauman dipercayai dilakukan seorang pengguna akaun Facebook berasal dari Pontian.
Tangkap layar hantaran komen yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam dikongsi warganet di beberapa akaun komuniti sehingga mendatangkan reaksi negatif dalam kalangan netizen.
Ibrahim menasihatkan semua pihak supaya tidak melakukan perkara yang tidak sepatutnya dan biarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan lanjut.
“Orang awam juga dinasihatkan tidak memuat naik sebarang hantaran di mana-mana platform media sosial berbentuk provokasi yang boleh mengganggu gugat keselamatan.
“Mereka tidak seharusnya bertindak dan mendatangkan kegusaran orang awam terutama membabitkan isu agama, bangsa dan raja (3R),” katanya. – UTUSAN





