GEORGE TOWN: Kesungguhan pemain Harimau Malaya, Faisal Halim untuk mengheret individu yang menyimbah asid ke badannya ke muka pengadilan disokong kebanyakan pihak.
Rata-rata mereka menyuarakan hasrat yang sama iaitu untuk melihat kes tersebut diselesaikan secepat mungkin.
Bagi Presiden Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim (KBSDFH), Ammar Muhamad Pauzi berkata, mereka turut berkongsi kesedihan dengan anak kelahiran Mengkuang Titi, Bukit Mertajam itu terutamanya selepas melihat kemunculan Faisal ketika sidang akhbar semalam.
“Daripada raut wajah Faisal (ketika sidang akhbar), jelas menzahirkan rasa sedih dan gusar berkenaan keselamatan beliau dan keluarga.
“Harapan kami ialah agar pihak polis dapat mengambil langkah drastik berkenaan keselamatan Faisal dan semoga perbuatan khianat itu tidak berulang lagi.
“Di sini, pihak KBSDFH dan keluarga mengucapkan terima kasih terhadap sokongan luar biasa seluruh rakyat Malaysia terhadap Faisal yang telah menjadi kekuatan dan pembakar semangat untuk beliau terus bangkit,” katanya kepada Nexbyte.
Faisal muncul buat kali pertama dalam sidang akhbar semalam selepas lebih sebulan menjalani rawatan susulan insiden simbahan asid yang mengejutkan semua pihak terutamanya peminat sukan bola sepak di negara ini.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi, juga senada dan mahu keadilan ditegakkan secepat mungkin buat pemain Selangor itu.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, kami ingin menyatakan solidariti kami bersama Faisal Halim. Seperti mana yang diharapkan, kami menyeru agar pihak-pihak berwajib untuk memastikan penjenayah tersebut dapat dihadap ke muka pengadilan dalam masa terdekat.
“Doa kami tetap bersama Faisal Halim. Semoga beliau dan seisi keluarga tabah mengharungi cabaran ini dan tidak sabar kami untuk melihat beliau beraksi semula di atas padang bola,” ujar beliau. – UTUSAN






