BATU KAWAN : Kerajaan yakin dapat meraih pelaburan lebih tinggi menerusi industri semikonduktor global yang dijangka mencapai angka satu trilion dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang 2030.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pihaknya optimis jumlah itu mampu dicapai susulan Malaysia merupakan pemain terkemuka dalam rantaian nilai semikonduktor global sejak 50 tahun lalu.
Kata beliau, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang dilancarkan membuktikan usaha dan tindakan strategik berterusan dilaksanakan untuk merebut peluang semasa sekali gus memperkukuh industri yang lebih berdaya tahan.
“Malaysia memiliki segala yang kita perlukan iaitu asas yang kukuh, ekosistem yang berkembang pesat, kemahuan politik yang kuat untuk merancakkan pertumbuhan pesat industri pembuatan kita dengan melibatkan pemegang kepentingan utama, terutamanya ahli industri itu sendiri,” katanya sempena Majlis Pecah Tanah Kilang Keenam Plexus, di Bandar Cassia di sini, petang tadi.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, Plexus telah melaksanakan komitmen menerusi pelaburan sebanyak RM1 bilion bagi pembinaan kilang terbabit di atas tanah berkeluasan 560,000 kaki persegi yang dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, projek yang dinamakan Plexus Bridgeview itu diyakini dapat mewujudkan ekosistem pembuatan yang kuat didorong oleh perkongsian dinamik antara syarikat global terkemuka dan firma Malaysia yang dipacu oleh bakat bertaraf dunia.
“Pelaburan ini dijangka dapat mewujudkan kira-kira 1,800 peluang pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, rintihan pengusaha bas kilang yang tidak menerima subsidi susulan penyasaran subsidi diesel akan disampaikan kepada Kabinet.
“Saya percaya isu itu telah dibangkitkan dan di kementerian berkaitan antaranya Kementerian Pengangkutan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan yang akan menjawab mengenai isu ini.
“Kita sebagai kerajaan dengar (isu penyasaran diesel) walaupun MITI adalah kementerian dalam sektor pembuatan, kita dengar dan ia boleh disampaikan kepada Kabinet,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengusaha bas meminta campur tangan MITI untuk berunding dengan pihak industri agar menyemak semula perjanjian perkhidmatan bas kilang susulan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi dan bas kilang tidak termaktub dalam penyasaran tersebut.-UTUSAN






