PETALING JAYA: Sebanyak 90 peratus daripada 85,283 penghidap HIV di negara ini merupakan golongan lelaki berbanding wanita hanya 10 peratus.
Laporan Pemantauan AIDS Global (Malaysia) dikeluarkan pada 2024 menunjukkan, penghidap HIV terbanyak adalah daripada kumpulan umur 20 ke 29 tahun iaitu sebanyak 44 peratus, diikuti mereka berumur dari 30 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 31 peratus.
Statistik itu juga mendedahkan bahawa Selangor mencatat kes tertinggi keseluruhan HIV pada 2023 dengan 1,062 orang diikuti Kuala Lumpur sebanyak 357 orang, Sabah (320), Sarawak (248) dan Johor (236).
Data sama juga menyaksikan 84 peratus dari jumlah tersebut atau 71,927 orang mengetahui status mereka serta telah dimaklumkan melalui sistem pengawasan negara.
Jangkitan HIV didapati berpunca daripada hubungan seks sesama lelaki, manakala peratusan lebih kecil berpunca amalan seks dengan jantina berlainan dan berkongsi peralatan suntikan.
Lebih menyedihkan, 68 peratus daripada keseluruhan jumlah pesakit pada 2023 didiagnos lewat, ia menunjukkan peningkatan dari tahun sebelum dan perlunya kempen kesedaran ditingkatkan terhadap golongan berisiko tinggi.

Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman berkata, tren jangkitan HIV menunjukkan bahawa hubungan seksual tanpa perlindungan merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kes tersebut.
Antara lain, kata beliau, faktor utama yang menyumbang kepada trend tersebut adalah kurangnya pengetahuan mengenai pencegahan HIV seperti penggunaan kondom dan terapi pencegahan pra-pendedahan (PrEP).
Malah katanya, peningkatan pergaulan seks tanpa perlindungan dalam kalangan golongan muda turut membimbangkan.
“Selain itu, stigma sosial terhadap HIV menghalang ramai individu berisiko daripada mendapatkan ujian saringan dan rawatan yang diperlukan. Kumpulan berisiko tinggi seperti lelaki yang mempunyai hubungan seks dengan lelaki dan individu yang terlibat dalam pekerjaan seks, juga mencatatkan kadar jangkitan yang lebih tinggi.
“Walaupun terdapat usaha-usaha untuk meningkatkan kesedaran dan akses kepada rawatan, hubungan seksual tanpa perlindungan terus menjadi faktor utama penyebaran HIV di Malaysia,” katanya kepada Nexbyte.
Kata beliau, walaupun kerajaan sentiasa menyediakan rawatan secara percuma kepada golongan terkesan, namun masih lagi ramai yang tidak mahu mendapatkan rawatan atas faktor stigma masyarakat.
“Stigma menyebabkan individu enggan tampil mendapatkan rawatan atau menjalani ujian awal kerana takut dengan reaksi masyarakat.
“Ketakutan terhadap diskriminasi, terutamanya di tempat kerja dan dalam komuniti, sering membuatkan pesakit memilih untuk berdiam diri walaupun mereka mengetahui status kesihatan mereka,” katanya.
Beliau berkata, stigma itu bukan sahaja menyulitkan akses kepada rawatan tetapi juga menyumbang kepada penularan HIV yang tidak terkawal.
“Mereka yang tidak dirawat bukan sahaja berisiko mengalami komplikasi kesihatan yang serius, tetapi juga boleh menyebarkan virus tersebut kepada orang lain tanpa disedari,” jelasnya. – UTUSAN






