REMBAU: Tiada apa yang lebih menggembirakan buat seorang guru apabila melihat bekas pelajar yang pernah dididik kini menjadi individu yang berjaya dan menyumbang jasa kepada masyarakat.
Begitu juga yang dirasakan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail di sini, Mohd. Hapizi Mohamad Ali, 57, yang turut berbangga apabila ada dalam kalangan bekas pelajarnya kini juga bergelar guru.
Malah lebih menarik dalam tempoh itu, ada juga bekas pelajarnya juga turut sama bertugas di sekolah yang sama dengannya.
“Memang saya berbangga bersyukur apabila ramai anak murid saya turut bergelar pendidik. Sepanjang 35 tahun bergelar guru saya sentiasa mendoakan pelajar-pelajar supaya lulus peperiksaan dan lembut hati untuk belajar,” katanya ketika ditemui Nexbyte di sekolah berkenaan
Mohd. Hapizi memberitahu, dua orang guru di sekolah tersebut iaitu Siti Khajar Kamil, 42, dan Nur Syuhada Mohd. Shapeni, 34, juga merupakan bekas anak didiknya ketika mengajar di SMKA Sheikh Haji Mohd. Said di Seremban.
Sementara itu, Siti Hajar berkata, dia berbangga dapat bertugas dengan Mohd. Hapizi untu sama-sama menaikkan prestasi SMKA Dato’ Haji Abu Hassan Haji Sail.
“Saya bertambah bersemangat apabila sama-sama bertugas dengan ustaz yang banyak mendidik saya dahulu.
“Ustaz bukan hanya mengajar erti menjadi murabbi (cikgu) sahaja malah menyedarkan saya bahawa tugas guru ini tidak pernah berhenti terutamanya dalam mendidik pelajar
“Cikgu ini 24 jam jadi pendidik, bukan dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang sahaja.
“Kadang-kala masa bersama anak-anak sendiri pun terhad, namun kami sebagai guru percaya jika kita ajar anak-anak murid dengan baik, Allah juga akan hantar guru-guru terbaik untuk ajar anak kita,” katanya. – UTUSAN






