SUNGAI PETANI: Berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal bukan penghalang buat guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Puteri Jaya, Mohd. Razif Romle, 39, menabur bakti mendidik sejak 14 tahun lalu.
Lelaki yang hanya berketinggian 113 sentimeter (cm) itu juga tidak kekok untuk mengajar pelajar normal walaupun pada awalnya dia dipanggil ‘orang kerdil’ ketika mula-mula melangkah masuk ke sekolah.
“Memang peringkat awal terserempak dengan pelajar sewaktu hari pertama persekolahan mereka panggil saya orang kerdil, namun sebaik memasuki kelas dan memperkenalkan diri sebagai guru mereka hormat saya seperti guru normal lain,” katanya kepada Nexbyte.
Guru berasal dari Felda Bukit Tangga, Changlun itu berkata, walaupun tubuhnya kecil namun dia tidak pernah dibezakan oleh guru besar daripada segi pentadbiran termasuk perlu mengajar mengikut sukatan ditetapkan.
“Saya dilayan seperti guru lain, perlu sediakan bahan mengajar mengikut silibus pendidikan malah sangat dihormati oleh pelajar kerana saya mengamalkan sikap tegas ketika mengajar.
“Apa yang saya mahu mereka mesti mampu mendapat ilmu dari saya dan mengadaptasinya dalam keputusan peperiksaan kelak, selain menjadi pemangkin meneruskan kehidupan kerana mata pelajaran Pendidikan Islam yang saya ajar mencakupi dari awal kelahiran hingga kita menutup mata,” katanya.
Ujar Mohd. Razif, dia berminat menjadi pendidik kerana kekurangan diri menjadi satu kelebihan baginya untuk dijadikan motivasi kepada pelajar agar terus menuntut ilmu dan berjaya dalam kehidupan.
“Saya merupakan pemegang Ijazah Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) tapi menyertai Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) di Maktab Perguruan Islam, Bangi demi menjadi guru.
“Maka jika saya yang dipanggil ‘Cikgu Kerdil’ ini boleh berjaya mencapai cita-cita kenapa pelajar cukup sifat tidak boleh berbuat demikian,” katanya.
Mohd. Razif yang mendirikan rumah tangga dengan wanita senasibnya, Norhazari Zakaria, 39, turut dikurniakan seorang anak berstatus orang kerdil, Awatif Jannah, 9.
Sementara itu, Mohd. Razif pernah menerima Anugerah Guru OKU Cemerlang Negeri Kedah pada 2017 yang menyebabkan beliau semakin bersemangat untuk terus mengajar.
“Selain Pendidikan Islam saya juga mengajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, semua itu tidak menjadi masalah kepada saya termasuk pelajar kerana mereka semua anggap saya sebagai guru yang perlu dihormati,” ujarnya. – UTUSAN






