SETIAP kali tiba tarikh 16 Mei, negara menyambut Hari Guru. Sambutan ini sebagai tanda penghormatan negara kepada para guru, baik yang masih berkhidmat, mahupun yang sudah bersara.
Sehubungan itu, saya sebagai insan yang banyak mendapat bimbingan dan tunjuk ajar dari para guru, juga turut memberi ucapan Selamat Hari Guru kepada semua para guru.
Sememangnya tugas guru bukan suatu kerja yang mudah. Para guru memainkan peranan membawa seseorang murid mengenali erti membaca dan mengira.
Setelah boleh membaca dan mengira, mereka yang bernama murid masih memerlukan bimbingan guru untuk mengenali erti kehidupan.
Tanpa bimbingan para guru, mungkin kita akan tersasar dari pengertian kehidupan sebenar.
Setelah mengenali segalanya mengenai kehidupan, setiap insan masih memerlukan bimbingan guru untuk meningkatkan ilmu bagi memudahkan mereka mendapat pekerjaan, hinggalah mereka menjadi manusia yang serba lengkap.
Begitulah besarnya peranan guru. Malah, para guru masa kini bukan sahaja memenuhi kewajipan tanggungjawab mengajar akademik, tetapi mereka juga diberi tugas memajukan sukan dan pelbagai aktiviti sampingan lain di sekolah.
Kalau para guru masa lalu, habis masa mengajar di sekolah, mereka boleh pulang ke rumah dan berehat bersama keluarga.
Tetapi kebanyakan guru masa kini masih diperlukan tugas walaupun di luar masa mengajar dalam kelas atau bilik darjah.
Mereka diperlukan untuk menjayakan pelbagai bidang ko-kurikulum yang melibatkan murid-murid.
Dengan sebab demikian, para guru terbabit bukan sahaja perlu melaksanakan tanggungjawab hingga ke petang, malah ada juga hingga ke malam.
Justeru, sewajarnyalah kita memberi penuh penghargaan kepada para guru yang begitu banyak berjasa.
Selamat Hari Guru. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis






