SEMENYIH: Proses penggalian semula kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin bermula 8.15 pagi ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching .
Tinjauan Nexbyte mendapati, Keluarga terdekat termasuk ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, adik-beradik serta beberapa saudara mara yang lain dilihat tiba sekitar pukul 7.15 pagi.
Selain itu, pasukan forensik dilihat memasuki tanah perkuburan sekitar 8.10 pagi bagi memulakan proses penggalian semula kubur.
Difahamkan, proses bedah siasat kali kedua terhadap jasad Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin diperintah dilakukan oleh Pakar Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Turut hadir menyaksikan proses penggalian tersebut Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Nushi Mahfodz.
Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa lalu memerintahkan penggalian semula kubur Syamsul Haris bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan dalam tempoh 14 hari bermula tarikh penggalian.
Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman.
Mahkamah turut mengarahkan seorang pakar patologi forensik Hospital Kuala Lumpur melakukan bedah siasat kedua terhadap jasad Allahyarham dengan kehadiran Pakar Forensik, Datuk Seri Dr. Bhupinder Singh. – UTUSAN






