KUALA LUMPUR: Proses bedah siasat kali kedua ke atas mayat Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin menemukan beberapa kecederaan mencurigakan berkemungkinan menyebabkan kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor itu pada 28 Julai lalu.
Peguam keluarga, Datuk Naran Singh Ara Singh berkata, hasil bedah siasat dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur mendapati terdapat kecederaan-kecederaan pada badan Syamsul Haris yang dipercayai punca kematiannya.
Beliau berkata, pihaknya menggesa Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar untuk melaksanakan inkues dengan serta-merta berkaitan kes kematian Syamsul Haris.
“Bedah siasat bermula pada 9 pagi dan tamat kira-kira 4 petang. Ia dijalankan secara teliti, setiap badan diperiksa dan dilihat selain CT scan turut dilakukan.
“Setakat ini keputusan bedah siasat dijalankan mendapati terdapat kecederaan-kecederaan mencurigakan pada badan mungkin menyebabkan kematian Syamsul Haris dan memerlukan siasatan lanjut.
“Dengan hormatnya saya mohon Peguam Negara untuk buat inkues dengan serta-merta selain Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail mengambil berat terhadap kes ini,” katanya kepada pemberita di pekarangan Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur semalam.
Beliau menuntut inkues dan siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti punca-punca kecederaan yang ditemukan dalam bedah siasat kedua itu.
“Yang pertama, bagaimana kecederaan ini berlaku. Kedua siapa yang bertanggungjawab? Kita harap mereka bertanggungjawab dapat diheret tanpa mengira pangkat.
“Kita harap ibunya yang kehilangan anak dan rakyat inginkan keadilan terhadap kes ini dan Peguam Negara akan menjawab permohonan inkues kita pada Selasa ini dan sekiranya tidak dilaksanakan, kita akan mohon kali kedua di Mahkamah Shah Alam,” katanya.
Ditanya mengapa bedah siasat pertama tidak dapat menemukan beberapa kecederaan yang didakwa, beliau berkata, ia perlu dapat dijawab oleh pakar. – MINGGUAN






