KUALA LUMPUR: Pemimpin, ulama dan sarjana bukan sahaja menggalas tugas untuk menyampaikan ilmu, mereka juga memikul tanggungjawab besar dalam mempertahankan kebenaran serta memelihara ilmu pengetahuan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peranan ulama tidak harus dipandang ringan memandangkan perpecahan ummah semakin meruncing akibat penggunaan media sosial.
Malah, beliau berkata, perpecahan ummah yang berlaku juga sering dimanipulasi sebagai alat retorik politik, selain disalahgunakan atas nama agama untuk meraih pengaruh dan kepentingan pihak tertentu.
“Tugas pemimpin dan ulama bukan sahaja menyampaikan ilmu tetapi juga mempertahankan kebenaran. Kita perlu menangani kebencian dengan kebijaksanaan, menggantikan kejahilan dengan kefahaman serta membina jambatan ketika orang lain membina tembok.
“Sejarah mengajar kita bahawa provokasi menyemarakkan permusuhan tetapi dengan imanlah kita dapat memupuk keamanan,” katanya berucap pada Persidangan Ulama Asia Tenggara Edisi Ketiga 2025 di Masjid Wilayah Persekutuan, di sini semalam.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam (MWL), Datuk Seri Dr. Mohammad Abdulkarim Al-Issa.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian tegas menentang penempatan haram Zionis dan agenda ‘Greater Israel’ yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.
Beliau berkata, bagi menunjukkan solidariti terhadap Palestin, Malaysia mengumumkan tambahan bantuan kemanusiaan sebanyak RM100 juta, menjadikan keseluruhan sumbangan negara RM200 juta bagi pembangunan semula Gaza.
“Ini mencerminkan keyakinan Malaysia bahawa membela Palestin bukan tanggungjawab satu negara sahaja, tetapi amanah seluruh umat manusia.
“Selagi penindasan berterusan, kita mesti terus bersuara, bertindak dan berdiri teguh bersama rakyat Palestin,” katanya. – UTUSAN






