PETALING JAYA: Kegagalan pemilikan ekuiti bumiputera sebanyak 30 peratus sejak pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) berpunca daripada kelemahan dasar. Malah, ia juga disebabkan kegagalan memahami dan melaksanakan pemerkasaan secara menyeluruh.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, pendekatan berasaskan penyertaan, pemilikan dan penguasaan (3P) perlu dijadikan asas utama dalam semua dasar berkaitan agenda bumiputera.
Katanya, terlalu ramai pihak menumpukan perhatian kepada angka pemilikan tanpa mengambil kira keupayaan untuk mengurus dan menguasai sektor ekonomi.
“Kalau kita beri sesuatu yang berharga kepada bumiputera tetapi mereka tidak dapat menilai, tidak tahu menggunakannya dan tidak mampu mentadbir, akhirnya ia akan dijual juga. Itu yang berlaku di negara kita.
“Kejayaan sebenar ekonomi bumiputera ialah apabila mereka mampu menyertai ekonomi secara aktif, memiliki kekayaan dan aset secara sah serta menguasai ruang dan struktur ekonomi. Bila 3P ini wujud, barulah kita boleh kata kejayaan itu dicapai,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan, bumiputera semakin tertinggal dalam persaingan syarikat senaraian awam di Bursa Malaysia apabila hanya dua buah syarikat disenaraikan dalam tempoh lima tahun.
Perkembangan itu menyaksikan sasaran pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera sejak DEB diperkenalkan pada 1971 masih jauh daripada tercapai.
Malah, pemilikan ekuiti korporat bumiputera kini dianggar sekitar 18 peratus, masih jauh daripada sasaran meskipun pelbagai dasar, program dan bantuan telah dilaksanakan oleh kerajaan.
Noor Azlan yang juga antara perancang utama Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) berkata, konsep 3P bukan sekadar slogan kosong, sebaliknya satu kerangka lengkap yang mesti difahami dan dilaksanakan dengan
komitmen menyeluruh oleh semua pihak termasuk agensi pelaksana, kementerian dan penggiat industri.
“Tiga perkara ini nampak mudah, tetapi ia sangat asas dan penting. Jika bumiputera hanya diberi ruang untuk memiliki tanpa menyertai secara aktif atau menguasai, ekonomi tidak akan kukuh.
“Kita tidak boleh hanya fokus kepada memberi pemilikan syarikat atau aset tanpa memastikan mereka terlibat dalam pengurusan, inovasi atau penguasaan rantaian bekalan,” katanya.
Beliau berkata, penyertaan merujuk kepada penglibatan aktif bumiputera dalam sektor ekonomi, bukan hanya sebagai pengguna atau pekerja bawahan, tetapi sebagai pemilik, pengurus, pelabur dan pencipta nilai dalam rantaian ekonomi.
Katanya, pemilikan pula bermaksud mempunyai hak milik sah ke atas aset seperti tanah, syarikat, saham dan perniagaan, manakala penguasaan merujuk kepada keupayaan menentukan hala tuju industri melalui penglibatan dalam teknologi, pasaran, inovasi dan dasar.
“Kejayaan sebenar bumiputera bukan apabila mereka hanya memiliki klinik atau restoran, tetapi apabila mereka menguasai keseluruhan rantaian nilai daripada pembekalan, pengedaran, inovasi hingga dasar industri.
“Kita ada doktor bumiputera, tetapi siapa sediakan mesin? Siapa keluarkan ubat? Siapa kendali insurans kesihatan? Dalam banyak kes, bumiputera masih berada di peringkat bawah ekosistem,” katanya. – MINGGUAN






