SHAH ALAM: Mana-mana pihak diingatkan supaya tidak menyentuh atau mengganggu kedudukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan peranan asalnya dalam memberikan pendidikan tinggi kepada orang Melayu, Bumiputera serta orang asal Sabah dan Sarawak.
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, ia berikutan penubuhan dan pembentukannya dalam melindungi hak kumpulan itu seperti mana termaktub dalam Akta UiTM 1976 (Akta 173).
Menurut baginda, akta tersebut selari dengan peruntukan-peruntukan di bawah Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipelihara dengan utuh.
“Syabas buat UiTM kerana masih kekal relevan dalam usaha membangunkan anak bangsa. Justeru, saya berharap tiada mana-mana pihak mengganggu-gugat kedudukan dan peranan asal universiti ini,” titah baginda sempena pembukaan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-102, hari ini.
Terdahulu, baginda berkenan mengurniakan ijazah kepada 237 graduan pasca siswazah dalam bidang Doktor Falsafah dan Sarjana Kepakaran Klinikal.
Tengku Permaisuri Norashikin turut mengingatkan generasi muda di negara ini diingatkan supaya tidak malas menuntut ilmu terutama bagi mendepani peredaran zaman yang memerlukan pengetahuan dalam pekerjaan dan kehidupan seharian.
“Banyak ilmu kritikal, lebih-lebih lagi pada zaman kini yang menuntut manusia menguasai pelbagai ilmu untuk mencapai matlamat hidup mereka. Dunia tidak akan berubah tanpa perkembangan ilmu. Maruah dan harga diri seseorang berkait rapat dengan tahap ilmu yang dimilikinya.
“Ilmu berkembang tanpa henti dan kita harus terus bergerak mengikut arusnya. Hanya mereka yang berusaha akan diberi petunjuk oleh Allah. Justeru, tiada istilah berhenti belajar setelah tamat pengajian,” titahnya.
Dalam pada itu, baginda turut mengingatkan supaya semua pihak menggunakan media sosial dengan bijak dan sebaiknya dalam berkongsi apa-apa maklumat.
Tegas Tengku Permaisuri, perkongsian maklumat yang kurang tepat dapat memberikan impak negatif serta boleh menguggat keharmonian negara.
“Negara kita masih dikurniakan keamanan dan kesejahteraan. Nikmat ini amat besar ertinya buat kita semua. Marilah kita kekalkan keharmonian, sayangi keamanan, kemakmuran dan segala hasil pembangunan yang diusahakan selama ini,” ujarnya. – UTUSAN






