BANGI: Usia bukan penghalang bagi seorang tukang senjata tradisional Melayu menjejakkan kaki ke menara gading di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meskipun umurnya menjangkau 50-an.
Rahim Ahmad, 53, berkata walaupun janggal kerana rakan sekelas sebaya anak-anaknya, ia dianggap satu cabaran baharu yang menyeronokkan, malah dia menerima reaksi positif daripada rakan dan keluarga.
“Ada yang mengusik katanya seperti kembali ke bangku sekolah pada usia ini. Saya tahu saya akan bergaul dengan pelajar muda sebaya anak-anak saya, tetapi itu tidak menjadi satu masalah.
“Malah, saya rasa ini peluang untuk saya belajar daripada mereka dan mereka juga mungkin boleh belajar sesuatu daripada saya,” katanya kepada Nexbyte.
Mahasiswa jurusan Sarjana Muda Sains Sosial dengan Kepujian (Antropologi dan Sosiologi) itu merupakan antara 4,078 pelajar baharu yang mendaftar bagi sesi akademik 2025/2026 kelmarin.
Tambahnya, dia teruja untuk mengikuti minggu orientasi di kampus bersama pelajar baharu lain walaupun menyedari dirinya akan menjadi perhatian.
“Saya terfikir mungkin orang akan pandang pelik tengok saya membuat aktiviti bersama pelajar yang jauh lebih muda. Saya tak boleh jangka apa yang akan terjadi, dan bagaimana saya akan ‘survive’ minggu orientasi yang ada banyak aktiviti ini. Tetapi saya tetap tak sabar,” luahnya.
Rahim yang berasal dari Keramat pernah berkhidmat sebagai perunding fasiliti sebelum mengambil keputusan untuk kembali menyambung pengajian.
Beliau kini mengusahakan pertukangan pisau, parang dan senjata tradisional Melayu di Galeri Kemuning, Kompleks Kraf Kuala Lumpur.
“Zaman saya dulu peluang pendidikan tidak sebanyak sekarang. Sekarang apabila anak-anak sudah besar dan keadaan keluarga stabil, saya rasa inilah masa untuk kejar impian saya,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, keputusan menyambung pengajian itu dibuat bagi mendalami ilmu warisan serta mendapatkan pengiktirafan akademik terhadap kemahiran yang dimiliki.
Katanya, bidang antropologi dan sosiologi di UKM menjadi pilihan kerana berkait rapat dengan minatnya terhadap budaya Melayu, silat dan senjata warisan. – UTUSAN






