SHAH ALAM: Tindakan tentera rejim Israel menahan rakyat Malaysia yang terlibat dengan misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza disifatkan sebagai cubaan mencabar kedaulatan negara ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tindakan tersebut juga dilihat dengan sengaja mempersenda nilai kemanusiaan sejagat.
Katanya, Malaysia tidak wajar duduk diam atau bersikap pasif apabila rakyat ditahan secara tidak adil kerana ia merupakan suatu pengkhianatan kepada rakyat.
“Tindakan yang keterlaluan itu merupakan satu pelanggaran jelas terhadap undang-undang antarabangsa, satu penghinaan langsung kepada kedaulatan Malaysia dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat.
“Kerajaan mesti menuntut pembebasan segera semua warga Malaysia yang ditahan dengan jaminan penuh terhadap keselamatan dan maruah mereka,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu, kerajaan perlu mengambil pendirian tegas di peringkat ASEAN. Sebagai pengerusi, Malaysia mesti memimpin suara serantau
Nexbyte sebelum ini melaporkan tentera laut Israel menahan lebih 200 aktivis dari seluruh dunia yang menyertai misi GSF ke Gaza, selepas beberapa kapal dalam konvoi tersebut dipintas dalam operasi malam kelmarin, menurut jurucakap rasmi pasukan keselamatan Israel.
Aktivis yang ditahan berasal dari sekurang-kurangnya 37 negara, termasuk Sweden, Brazil, Perancis dan Malaysia.
Antara individu yang ditahan ialah aktivis iklim terkenal Greta Thunberg dan Ahli Parlimen Eropah, Emma Fourreau, yang berada di atas kapal Madleen dan Alma ketika serbuan dijalankan.
Malah, Mohamed Azmin dengan tegas mendesak kerajaan menggugurkan jemputan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke negara ini, walaupun ia berkaitan dengan Sidang Kemuncak ASEAN akhir bulan ini.
“Tidak boleh diterima untuk menghamparkan karpet merah kepada Trump dan wang pembayar cukai tidak seharusnya digunakan untuk menjadi tuan rumah kepada mereka yang bersekongkol dengan penindasan.
“Sekiranya kerajaan gagal bertindak, Malaysia akan turut disifatkan bersubahat melalui sikap berdiam diri dan mengkhianati rakyat serta prinsipnya sendiri,” ujarnya. – UTUSAN






