KAJANG: Kementerian Kesihatan digesa memberikan tumpuan kepada peningkatan dan penambahbaikan kemudahan infrastruktur Klinik Kesihatan di seluruh negara menerusi peruntukan RM46.52 bilion yang diumumkan Perdana Menteri dalam Belanjawan Madani 2026.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, peningkatan peruntukan itu berbanding belanjawan sebelum ini seharusnya memberi kesan positif terhadap tahap kesihatan rakyat selain memastikan kemudahan sedia ada lebih selesa dan cekap.
“Perluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST), langkah penyasaran subsidi yang dilaksanakan membolehkan keuntungan disalurkan semula kepada rakyat bagi menyelesaikan isu doktor kontrak serta menaik taraf klinik kesihatan, hospital dan kemudahan berkaitan.
“Jika klinik memerlukan ubah suai atau peralatan perubatan baharu, kita (kerajaan) akan mohon peruntukan sewajarnya,” katanya ketika ditemui Nexbyte pada Karnival Kesihatan Klinik Kesihatan Sungai Sekamat 2025 baru-baru ini.
Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion bagi meningkatkan kualiti kemudahan kesihatan awam serta penyelenggaraan dan baik pulih hospital serta klinik kerajaan.
Peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada RM46.5 bilion dalam Belanjawan Madani 2026 berbanding RM45.3 bilion pada tahun ini.
Katanya, inisiatif kesihatan juga perlu dilihat secara menyeluruh merangkumi kementerian lain yang menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.
“Sebagai contoh, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut menerima peruntukan lebih besar dalam Belanjawan 2026 bagi menggerakkan program seperti Rakan Muda, yang dapat menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dan aktif,” ujarnya.
Jelas Syahredzan, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang bakal diperluas seperti diumumkan dalam belanjawan turut boleh dimanfaatkan rakyat untuk membeli ubat-ubatan serta makanan sihat seperti beras dan telur.
“Melalui bantuan SARA, rakyat boleh mendapatkan keperluan asas termasuk ubat, beras dan telur bagi mengamalkan gaya hidup sihat,” jelasnya.
Sementara itu, Pengerusi Penasihat Klinik Kesihatan (PPKK) Kampung Sungai Sekamat, Syafik Idzywan berkata, penambahbaikan sistem perparitan yang uzur juga perlu diberi perhatian kerana ia memberi kesan kepada keselamatan dan keselesaan pesakit yang mendapatkan rawatan di situ.
Katanya, keadaan jalan masuk ke Klinik Kesihatan di Sungai Sekamat yang sempit dan tidak rata menyukarkan pesakit berkerusi roda, warga emas serta ibu mengandung untuk keluar masuk ke kawasan tersebut.
“Petugas di klinik sudah berusaha sebaik mungkin, namun peningkatan jumlah pesakit menunjukkan keperluan mendesak untuk menambah baik kemudahan sedia ada,” jelasnya. – UTUSAN






