KUALA LUMPUR: Belum reda kes pelajar perempuan disyaki dirogol dua rakan sekolah secara bergilir-gilir di Melaka, minggu lalu, dunia pendidikan negara dikejutkan pula dengan satu lagi berita tragis.
Kali ini membabitkan pelajar perempuan tingka tan empat yang maut ditikam oleh rakan sekolah lelaki di sebuah sekolah di Petaling Jaya, semalam.
Mangsa berusia 16 tahun, ditikam oleh rakan lelaki sekolahnya berusia 14 tahun di tandas sekolah berkenaan kira-kira pukul 9.10 pagi.
Kejadian disedari oleh guru bertugas selepas terdengar jeritan pelajar dari kawasan berkenaan.
Dua insiden jenayah ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa akan keselamatan anak-anak di sekolah dan mahu pentadbir serta pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan.
Namun, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memberi jaminan semua sekolah di seluruh negara masih selamat untuk anak-anak belajar dan kes yang berlaku adalah kecil berbanding jumlah institusi pendidikan itu termasuk bila
ngan pelajar dan guru.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sendiri sentiasa berusaha untuk memastikan keadaan di sekolah selamat dan terjamin untuk semua pihak.
“Jika dilihat secara keseluruhan, sekolah di negara ini masih lagi selamat. Kita mempunyai lebih 10,000 sekolah dengan ratusan ribu pelajar dan lebih 400,000 guru.
“Malah PDRM juga sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah untuk memastikan keselamatan di sekolah terjamin. Namun kita tidak menolak kemungkinan pendedahan di media sosial boleh mempengaruhi tindakan individu atau pelajar tertentu,” katanya dalam sidang akbar selepas melancarkan Program Kempen Anti Buli di sini, semalam.
Mohd. Khalid berkata, statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan kes buli di sekolah meningkat kepada 7,681 kes tahun lalu daripada 6,528 kes pada 2023 dan 3,883 kes pada 2022.
Malah kata beliau, sejak kebelakangan ini, kes buli dalam kalangan pelajar semakin meningkat hingga turut menyebabkan kematian mangsa.
“Berdasarkan statistik PDRM sehingga 12 Oktober lalu, sejumlah 129 kes buli telah dilaporkan sejak Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 dan Akta Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2025 dikuatkuasakan.
“Pindaan dibuat bagi menangani buli secara lebih efektif dan menyeluruh,” katanya yang turut menasihatkan ibu bapa, guru, rakan sebaya dan masyarakat agar memainkan peranan masing-masing dalam menyemai nilai belas kasihan, empati dalam kalangan generasi muda.
Mohd. Khalid turut menasihatkan ibu bapa memainkan lebih peranan dalam memantau pergerakan anak-anak di luar sekolah.
“Ia termasuk kawalan dalam penggunaan teknologi dan media sosial supaya mereka ini tidak terpengaruh dengan unsur negatif,” katanya.
Susulan kejadian semalam, KPM telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi memastikan semua aspek terkait insiden berkenaan dapat disiasat secara tuntas, telus dan adil.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kes sedang dalam siasatan pihak berkuasa.
“Suspek telah ditahan polis. KPM akan bekerjasama penuh dalam proses siasatan yang sedang berjalan.
“Pasukan kaunselor serta Guru Bimbingan dan Kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikologi kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah tersebut,” katanya dalam kenyataan.
KPM juga katanya, turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar yang maut. – UTUSAN






