SHAH ALAM: Dasar pay-as-you-throw iaitu mengenakan caj kepada setiap isi rumah terhadap sampah atau sisa yang dihasilkan, dicadangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan-PN, Dr. Afif Bahardin berkata, dasar tersebut selaras dengan inisiatif menangani kesan perubahan iklim di negeri ini bersama Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC).
“Di Selangor, kita tahu antara negeri yang paling banyak menyumbang jumlah sampah setiap hari iaitu lebih 7,000 tan, yang mana kalau kita lihat dasar bayar apa yang dibuang itu, setiap isi rumah perlu membayar mengikut jumlah sampah yang dihasilkan.
“Kerana setakat hari ini, berbanding ketika saya di Pulau Pinang, saya lihat mereka lebih agresif dalam dasar waste for reduction,” katanya dalam sesi soal jawab pada SIdang DUN Selangor, hari ini.
Tambahnya, bagaimanapun inisiatif itu perlu dilaksanakan melalui political will dan Selangor boleh menjadi negeri pertama melaksanakan kerana penghasilan jumlah sampah yang besar antara penyumbang terbesar kepada perubahan iklim.
Kemudian, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar, Jamaliah Jamaludin berkata beliau bersetuju dengan cadangan tersebut dan ia boleh dibawa ke perbincangan yang turut melibatkan portfolio lain.
“Sama ada kita mahu caj setiap isi rumah berdasarkan kuantiti sampah, contoh isu seperti itu memang kita boleh bangkitkan dalam perbincangan, namun ia juga berkaitan dengan portfolio exco lain.
“Jadi, perkara itu akan mengambil sedikit masa untuk perbincangan dasar dan persetujuan daripada semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Tetapi, saya rasa itu merupakan cadangan yang bagus,” ujarnya. – UTUSAN






