KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak cadangan Bank Dunia supaya menetapkan bahan api mengikut harga pasaran, sebaliknya kekal komited melaksanakan penyasaran subsidi petrol menerusi program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyasaran subsidi RON95 merupakan langkah berhemat yang membolehkan kerajaan menjimatkan perbelanjaan tanpa membebankan rakyat.
Menurut beliau, kerajaan menolak cadangan Bank Dunia adalah supaya menaikkan harga semua kategori petrol kepada RM2.65 seliter dan kemudiannya memberikan subsidi khusus untuk kategori tertentu.
“Saya dan rakan-rakan Jemaah Menteri menolak cadangan tersebut dan menurunkan harga RON95 kepada RM1.99 seliter bagi rakyat serta RM2.60 seliter bagi warga asing.
“Ini menunjukkan pendekatan (kerajaan) yang lebih berhemat dan memberikan faedah kepada rakyat. Alhamdulillah, penyasaran subsidi RON95 di seluruh Malaysia ini sambutannya sangat baik dan positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2026) di Dewan Negara, hari ini.
Anwar berkata, penyasaran subsidi secara menyeluruh itu memastikan bantuan terus dinikmati rakyat, di samping membanteras ketirisan subsidi kepada bukan warganegara serta kegunaan perniagaan.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, semasa pemberian subsidi ayam dan telur dihentikan lalu harganya diapungkan, kerajaan berjaya memastikan harga kekal stabil, bekalan mencukupi dan rakyat tidak terkesan.
“Melalui pengapungan harga ayam dan telur serta penyasaran subsidi elektrik, diesel dan RON95, kerajaan meraih penjimatan sekitar RM15.5 bilion setahun,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan memilih untuk tidak memperkenalkan cukai baharu ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu kerana mahu menumpukan kepada penambahbaikan tatakelola, penyasaran subsidi dan pengukuhan pematuhan cukai.
“Lazimnya, apabila perbelanjaan tambahan diumumkan, kerajaan akan memperkenalkan cukai baharu tetapi di Malaysia, peruntukan ditambah tanpa menambah cukai baharu. (Ini) kerana kita (melaksanakan) penyasaran subsidi dan beberapa langkah lain bagi penjimatan serta mengelakkan ketirisan.
“Jika kerajaan Persekutuan mengambil langkah sedemikian, saya menyeru kerajaan negeri supaya turut berbuat demikian dan berhati-hati agar sebarang tindakan dan cukai baharu tidak membebankan rakyat,” katanya. – UTUSAN






