PETALING JAYA: Penerbitan laporan dan perbahasan Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) di Parlimen semata-mata tidak menjadi noktah atau bermaksud ‘tutup fail’.
Sebaliknya, ia mesti menjadi titik permulaan kepada tindakan penguatkuasaan, pemulihan aset, pembaharuan undang-undang dan reformasi institusi yang menyeluruh.
Presiden Pertubuhan Asas Bina Negara (Asabina), Rosdi Amir berkata, pihaknya berpandangan angka pelaksanaan yang diumumkan kerajaan iaitu kira-kira 75 peratus daripada 25 syor RCI dilaksanakan tidak memadai.
“Angka hanya tinggal angka. Ukuran sebenar kejayaan RCI ialah sama ada wang dan aset berjaya dipulihkan dan dikembalikan, pihak yang melakukan kesalahan dipertanggungjawabkan, kelemahan undang-undang diperbaiki serta penyelewengan yang sama tidak lagi boleh berulang.
“Sehubungan itu, Asabina menggesa kerajaan dan TH melaksanakan langkah-langkah drastik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rosdi berkata, pendakwaan tanpa mengira kedudukan atau pengaruh individu perlu dilaksanakan jika terdapat bukti mencukupi.
Jelasnya, tindakan undang-undang mesti diambil terhadap individu berkenaan tanpa mengira kedudukan politik, jawatan terdahulu, hubungan perniagaan atau pengaruh individu berkenaan.
Pada masa sama, katanya, prinsip kedaulatan undang-undang dan hak kepada perbicaraan yang adil mesti dihormati.
“Laporan RCI bukanlah pengganti kepada siasatan jenayah dan pembuktian di mahkamah. Namun, ia memberikan asas kukuh untuk penyiasatan menyeluruh, bebas dan profesional.
“Pegawai atau individu yang masih memegang jawatan berkaitan hendaklah direhatkan sementara sekiranya kedudukan mereka boleh menjejaskan siasatan, tertakluk kepada undang-undang dan tatacara yang adil,” katanya.
Beliau berkata, Papan Pemuka Awam bagi kesemua 25 syor RCI juga perlu diwujudkan oleh TH mengenai pelaksanaan Syor RCI Kerajaan
Katanya, papan pemuka itu adalah bagi memberi akses kepada rakyat khususnya pendeposit mengikuti dan mengetahui secara dekat perkembangan tindakan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Setiap syor hendaklah disertakan dengan status pelaksanaan sebenar, agensi dan pegawai yang bertanggungjawab, tarikh mula dan tarikh sasaran, tindakan yang telah diselesaikan, bukti atau hasil pelaksanaan, petunjuk prestasi dan keberkesanan, sebab kelewatan bagi syor yang belum dilaksanakan.
“Istilah seperti ‘telah dilaksanakan’ tidak boleh digunakan hanya kerana suatu mesyuarat, pekeliling atau prosedur baharu diwujudkan. Pelaksanaan mesti dinilai berdasarkan perubahan sebenar dan keberkesanannya mencegah kerugian serta salah guna kuasa,” katanya.
Cadangan lain antaranya termasuk melaksanakan audit forensik menyeluruh, menubuhkan pasukan petugas khas pemulihan aset TH, mengemaskini Akta Tabung Haji 1995 secara menyeluruh, menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Khas Parlimen, mereformasi sistem pelaburan dan perolehan TH, menubuhkan unit integriti dan ombudsman pendeposit yang benar-benar bebas. – UTUSAN






