PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneruskan agenda reformasi membina semula institusi negara dan memastikan pimpinan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan meningkatkan kecekapan pentadbiran, memperkemas birokrasi dengan kebajikan rakyat kekal menjadi keutamaan melalui pelaksanaan projek yang akan disegerakan.
Beliau berkata, reformasi utama yang akan dilaksanakan termasuk pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
Katanya, langkah-langkah itu penting bagi mengukuhkan asas negara hukum yang lebih telus dan berintegriti.
Beliau berkata, kerajaan akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri tidak melebihi 10 tahun atau dua penggal penuh pada sesi Parlimen tahun ini.
“Semua orang ada had tempohnya, KSN (Ketua Setiausaha Negara) tak boleh sampai puluh tahun, juga terpakai untuk semua kerana kalau diberikan tempoh, dan dalam tempoh itu mampu melaksanakan, selepas itu elok kita serahkan kepada generasi berikutnya,” katanya ketika menyampaikan amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, semalam.
Anwar berkata, kerajaan juga akan meneruskan usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran dengan memperkemas birokrasi, mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan awam dan menyegerakan projek-projek rakyat seperti membaiki sekolah dan klinik daif, menutup jalan berlubang serta menambah lampu jalan.
Katanya, kebajikan rakyat kekal sebagai teras pentadbiran Kerajaan Madani meliputi bantuan bersasar, sokongan kos sara hidup, peningkatan gaji penjawat awam serta inisiatif pendidikan dan kesihatan dilaksanakan bagi memastikan hasil pertumbuhan ekonomi kembali kepada rakyat.
Katanya, kesemua langkah ini saling melengkapi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, memperkukuh keyakinan pelabur, dan memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh seluruh rakyat.
Antara bantuan yang diteruskan pada tahun ini ialah Bantuan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk Semua untuk setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas sebanyak RM100 yang akan dikreditkan pada 9 Februari depan melibatkan seramai 22 juta rakyat.
Berikut intipati amanat Perdana Menteri pada perhimpunan tersebut:
* Pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara adalah undang-undang pertama akan dibentangkan pada sesi Parlimen ini.
* Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat akan dibentang dan diluluskan di Parlimen tahun ini.
* RUU mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentangkan pada sesi Parlimen ini.
* Pelaksanaan sistem digital akan dipergiat bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.
* Gaji hakim mahkamah dinaikkan selepas 10 tahun tiada kenaikan.
* Peruntukan naik taraf sekolah sebanyak RM80 juta diberikan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta kepada SJK Tamil (SJKT).
* Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2026 Fasa 1 akan bermula 20 Januari ini.
* Pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 kepada warganegara berumur 18 tahun ke atas, akan dikreditkan pada 9 Februari depan.
* Pembayaran SARA bulanan akan dibuat secara berperingkat mulai 9 Januari ini.
* Jualan Rahmah MADANI akan bermula 9 Januari ini, dan diadakan tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).
* Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM150 bagi setiap murid, boleh diambil di sekolah masing-masing. – UTUSAN






