SHAH ALAM: Sebanyak 178 fail tuntutan berkaitan kewujudan kuil haram diterima kerajaan negeri yang penyelesaiannya masih belum dimuktamadkan.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan, V. Papparaidu berkata, bagaimanapun kerajaan negeri mempunyai garis panduan baharu untuk menyelesaikan masalah tersebut berdasarkan perkembangan situasi semasa.
Katanya, namun penyelesaian penggantian tapak secara satu ke satu atau apple to apple tidak boleh dilaksanakan kerana jumlah guna tanah yang terhad di negeri ini.
“Hendak dapatkan gantian tanah itu memang tak ada, di Selangor untuk memindahkan pondok penyembahan dan kuil itu memang tidak ada. Hendak gantikan satu ke satu atau apple to apple memang tak ada, itu tak akan berlaku.
“Tetapi saya juga ada cadangan untuk memberikan kuil terlibat untuk menyediakan kuil yang besar dengan beradaptasi (dengan penempatan sekitar) dan mengurangkan isu itu,” katanya pada Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan tambahan daripada Hilman Idham (PN-Gombak Setia) berhubung perancangan kerajaan negeri mewujudkan tindakan proaktif supaya dapat mengelakkan lebih banyak pembinaan kuil tanpa kebenaran pada masa akan datang.
Terdahulu, Dr. Gunarajah George (PH-Sentosa) turut mengemukakan soalan tambahan yang meminta pengesahan terhadap jumlah lebih 600 kuil tanpa kebenaran sama ada kuil sebenar atau sekadar pondok penyembahan.
Papparaidu yang juga ADUN Banting menjelaskan keharmonian antara kaum di negeri ini tidak wajar ditimbulkan lagi berdasarkan pengalaman setiap kaum berdepan dengan upacara atau peristiwa agama lain.
“Di negara kita, fokus kepada Selangor, kita sebuah negeri yang majmuk. Dahulu kita sambut Thaipusam, kita jam satu Selangor dan Batu Cave, tak ada isu. Juga bagi kawan-kawan kita yang Melayu dan beragama Islam, hendak pergi solat Jumaat, kadang-kadang jalan di depan (masjid) sesak, tak ada masalah.
“Begitu juga dengan kawan-kawan Tionghua, ada penyembahan kecil kadang-kadang di padang dan sebagainya, tak ada masalah. Mungkin, kesemuanya melanggar akta atau undang-undang sedia ada, tetapi kita ada fleksibel, sebab itu kita digeruni oleh semua pihak di luar sana, Selangor agak berbeza. Malaysia juga secara amnya,” ujarnya.
Februari lalu, Nexbyte melaporkan, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah disembah maklum oleh kerajaan negeri, terdapat 687 kuil hindu dibina tanpa kebenaran di negeri ini melibatkan 388 di atas tanah milik kerajaan dan 299 lagi di tapak persendirian sehingga 31 Januari lalu.
Baginda bersependapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pembinaan mana-mana rumah ibadah mesti mengikuti peraturan dan undang-undang. – UTUSAN






