SEPANG: Seorang lelaki warga Algeria maut selepas dipercayai terjun dari aras tiga Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2), malam semalam.
Insiden itu berlaku kurang tujuh jam selepas insiden pertama membabitkan seorang wanita warga China yang turut maut akibat terjatuh daripada bangunan di lokasi berhampiran.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 9.10 malam.
Beliau berkata, saksi awam mendakwa melihat lelaki berusia 30 tahun itu membuka beg sandang sebelum berlari dan melompat pagar penghadang di kawasan luar balkoni terminal sebelum terjun dari bangunan itu.
“Pasukan perubatan yang tiba di lokasi sempat memberikan rawatan kecemasan sebelum mangsa dihantar ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 2.55 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi semalam.
Ravi berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR).
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita warga China berusia 27 tahun maut selepas terjatuh dari aras tiga Terminal KLIA2
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, mangsa dilaporkan berada di kawasan luar balkoni aras tiga berkenaan sebelum terjatuh ke kawasan ruang pemunggahan terminal. –UTUSAN






