PASIR PUTEH: Persatuan kontraktor yang mendakwa kos bahan binaan meningkat mendadak diminta mengemukakan bukti sah sebelum Kementerian Kerja Raya (KKR) boleh mempertimbangkan permohonan Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi projek pembinaan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, sebarang pertimbangan perlu berasaskan data rasmi dan bukti yang boleh disahkan.
Katanya, isu tersebut antara perkara utama dibangkitkan persatuan kontraktor dalam Dialog Belanjawan Kementerian Kerja Raya baru-baru ini.
“Mereka memohon VOP kerana mendakwa kos bahan binaan meningkat tinggi. Tetapi berdasarkan kenyataan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 10 Ogos, majoriti bahan binaan menunjukkan kenaikan yang sedikit dan harganya adalah stabil.
“Ada tiga barang yang kenaikannya tidak sampai satu peratus dan maksimum ada yang meningkat sehingga 19 peratus. Simen pula kenaikannya tidak sampai satu peratus,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Kolej Matrikulasi Kelantan di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Mengulas lanjut, Ahmad memberitahu, Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia dan kontraktor Kelas F diminta memberikan maklum balas kepada DOSM sekiranya mendapati statistik rasmi yang dikeluarkan tidak menggambarkan keadaan sebenar.
“Kalau mereka kata data DOSM tidak tepat, kemukakan bukti kepada DOSM. Tunjukkan invois dan dokumen sah mengenai harga bahan binaan ketika membina jalan atau bangunan.
“Jika benar berlaku kenaikan yang melambung tinggi, biar DOSM semak dan perkara itu boleh dipertikaikan berdasarkan bukti,” ujarnya.
Terdahulu, 28 Julai lalu Nexbyte melaporkan pojek pembinaan di negara ini berisiko menjadi ‘projek sakit’ susulan kenaikan harga simen disebabkan kos tersembunyi yang didakwa dikenakan oleh pihak pembekal.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd. Rosdi Ab. Aziz berkata, walaupun kerajaan dimaklumkan harga simen hanya meningkat pada kadar minimum, hakikatnya kontraktor menanggung pelbagai ‘kos tersembunyi’ yang menyebabkan harga sebenar bahan binaan melonjak.
Katanya, harga simen ketika ini meningkat antara RM3 hingga RM4 sekampit simen.-UTUSAN






