SHAH ALAM: Pengambilan pekerja dalam kalangan individu tanpa negara atau pelarian bagi sektor kotor, bahaya dan sukar (3D) hanya akan dilakukan selepas urusan pendaftaran dan prosedur undang-undang diselesaikan oleh Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, urusan tersebut turut melibatkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebelum mereka dibenarkan untuk bekerja di negara ini.
“Kena berdaftar dan itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan kita tunggu proses itu selesai untuk kita susun semula. Tanggungjawab memberikan lesen (pengenalan diri) adalah UNHCR,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Smartsel Sdn. Bhd. dan PJ Linkaran Fibre Sdn. Bhd. di sini, hari ini.
Jun lalu Nexbyte melaporkan, Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar di Malaysia (MERHROM) merayu kerajaan mempertimbang membenarkan pelarian berdaftar bekerja secara sah di dalam sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).
Langkah itu mampu menyelesaikan masalah terutama dalam usaha menampung isu kekurangan tenaga kerja yang kritikal ketika ini.
Bagaimanapun, Julai lalu, UNHCR dilapor diarah menghentikan sementara semua proses pendaftaran pelarian bagi membolehkan penyusunan semula sistem pengurusan menerusi pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, keputusan itu dibuat Jemaah Menteri bagi memastikan pengurusan dan pendaftaran pelarian di negara ini dapat dilaksanakan secara lebih sistematik di bawah kawal selia kerajaan.
Amirudin bagaimanapun menegaskan, tumpuan kerajaan ketika ini adalah menghantar pulang pelarian-pelarian ke negara asal mereka.
“Seboleh mungkin, kita hendak hantar balik, namun itu memerlukan persetujuan kerajaan (negara asal) mereka.
“Stateless bukan sahaja Rohingya, ada banyak lagi. Tetapi kita akan tumpukan yang itu (penghantaran pulang) dahulu, tetapi itu di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat faktor kemanusiaan perlu dipertimbangkan untuk mengelakkan golongan tersebut daripada menimbulkan masalah sosial lain.
Kerajaan negeri tak boleh beri lesen (kebenaran) kepada mereka (untuk bekerja). Kalau orang awam membenarkan tinggal, menyewa rumah mereka, itu (juga) diluar bidang kuasa negeri
Tetapi ada faktor kemanusiaan yang kena tengoklah, kalau halau semua akhirnya nanti mereka melarat di tepi jalan dan akan timbulkan masalah sosial,” ujarnya. – UTUSAN






