PETALING JAYA: Kepakaran forensik luar negara berkemungkinan digunakan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penemuan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd. Halim Aman berkata, kepakaran ini diperlukan bagi penelitian merangkumi minit mesyuarat dan pelbagai dokumen berkaitan keputusan pelaburan yang dibuat.
Katanya, siasatan itu melibatkan aspek pelaburan, dokumentasi perjanjian serta kontrak yang memerlukan penelitian forensik secara terperinci.
“Dokumen yang terlibat dalam siasatan ini begitu banyak yang perlu dikaji dan diteliti. Dan usaha ini memerlukan penelitian khusus di samping kepakaran.
“Perbincangan melantik pakar forensik ini juga tertakluk kepada kos terlibat. Pakar forensik ini juga akan bekerjasama dengan pegawai pakar yang kami ada di SPRM,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sementara itu, Abd Halim berkata, seramai tujuh individu telah ditahan bagi membantu siasatan ini.
Daripada jumlah itu, lima individu telah direman manakala SPRM setakat ini membuka 14 kertas siasatan berkaitan isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan.
“Siasatan setakat ini turut menyaksikan 28 premis diperiksa dan digeledah manakala 115 saksi dipanggil untuk ditemu bual serta dirakam percakapan di pejabat SPRM,” jelasnya.
Katanya, siasatan masih diteruskan terhadap enam isu yang dibangkitkan dalam Laporan RCI berkenaan, selain beberapa isu lain yang dikenal pasti sepanjang siasatan.
“Antara tindakan yang sedang dijalankan termasuk jejak kewangan membabitkan dokumen dan penyata kewangan daripada institusi kewangan selain penelitian terhadap dokumen kontrak serta dokumen pembayaran.
“SPRM turut meneliti aspek kelemahan tatakelola yang dipercayai menjadi antara faktor berlakunya isu yang dibangkitkan dalam laporan berkenaan,” jelasnya.
Katanya, dalam menjalankan siasatan, SPRM turut akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Lembaga Tabung Haji sekiranya diperlukan.
Jelasnya, siasatan dijalankan secara menyeluruh susulan pendedahan Laporan RCI Tabung Haji kepada umum pada 29 Julai lalu.
“SPRM tidak akan berkompromi dalam meneliti sebarang unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram yang dikenal pasti berdasarkan hasil siasatan RCI.
“SPRM akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan fakta dan bukti yang diperoleh serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat kesalahan di bawah undang-undang,” ujarnya.
Pada 31 Julai lalu, SPRM menubuhkan pasukan khas pada yang diketuai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar bagi meneliti isu perundangan dan kemungkinan berlakunya kesalahan jenayah.
Siasatan itu juga selaras dengan mandat kerajaan, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengarahkan pihak berkuasa menjalankan penelitian terperinci bagi mengenal pasti sebarang kesalahan serta kelemahan berdasarkan Laporan RCI berkenaan.
Laporan RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum itu meneliti isu berkaitan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020. – UTUSAN





