PUTRAJAYA: Syor-syor berkaitan penambahbaikan Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535] yang dibangkitkan dalam sidang khas Dewan Rakyat berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sedang dipertimbang dan diperhalusi sebelum dibentangkan di Parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, proses berkenaan sedang dilaksanakan bagi memastikan Akta Tabung Haji dapat menyediakan kerangka terbaik untuk masa depan institusi berkenaan.
“Sebenarnya memang sudah ada urus setia untuk mendapatkan yang terbaik. Syor-syor itu sekarang ini sedang dipertimbang dan sedang diperhalusi.
“Nanti kita akan bentangkan di Parlimen untuk diluluskan, tetapi sebelum itu, ia perlu mendapat ‘endorsement’ daripada Kabinet,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Anugerah Jasamu Dikenang di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, memastikan kepincangan yang menjejaskan TH tidak berulang menjadi antara fokus utama Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Selasa, dengan ahli Parlimen menggesa tindakan tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab dan pembaharuan menyeluruh dilaksanakan dalam tadbir urus institusi berkenaan.
Antara yang dibangkitkan ialah keperluan menyegerakan pindaan Akta Tabung Haji 1995 [Akta 535], memperkukuh pengawasan terhadap pelaburan dan pengurusan kewangan serta memastikan kepimpinan TH kekal profesional selain bebas daripada campur tangan politik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Lembaga Tabung Haji bersama pihak berkepentingan berkaitan kini masih meneruskan usaha memperkemaskan akta tersebut.
“Sekarang ini Tabung Haji bersama dengan pemegang taruh yang berkaitan masih meneruskan lagi untuk memperkemaskan sebaiknya Akta Tabung Haji agar akta ini akan dapat memberikan satu kerangka yang terbaik untuk masa depan Tabung Haji dan seluruhnya,” katanya. – UTUSAN






