APABILA bercakap mengenai pelaburan hartanah, sudah tentu yang ada di fikiran adalah jana keuntungan dengan jual dan beli rumah.
Namun, sebenarnya terdapat cara lain yang mampu memberikan pulangan secara bulanan iaitu sublet atau subsewa iaitu kita sewa sebuah rumah daripada pemiliknya, kemudian cari individu lain untuk menyewa rumah, bilik-bilik atau ruangan yang ada.
Sebenarnya, subsewa bukanlah sesuatu yang baharu di Malaysia sebab ramai yang sudah lama berkecimpung dalam perniagaan ini tidak kira subsewa rumah atau subsewa bilik.
Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu tentang strategi pelaburan subsewa dan cara yang betul untuk lakukannya.
Untuk keluaran RINGGIT minggu ini, kami senaraikan cara untuk menjana keuntungan daripada subsewa.
SEWAKAN BILIK/INDIVIDU
Sewakan bilik kosong kepada individu lain adalah taktik yang bijak khususnya bagi anda yang mempunyai rumah yang luas dan banyak bilik yang tidak digunakan.
Ini akan memberikan situasi menang-menang kepada anda dan juga penyewa kerana anda memperoleh pendapatan tambahan dan penyewa anda tidak perlu bersusah payah mencari sewaan bilik.
Mungkin juga anda terfikir untuk menyewakan bilik di rumah sewa anda berikutan permintaan yang tinggi di kawasan tersebut contohnya kawasan universiti yang dipenuhi pelajar dan sebagainya.
Dengan syarat, anda perlu keluarkan perjanjian sewa bilik yang khusus untuk mereka dalam masa yang sama mematuhi perjanjian sedia ada bersama tuan rumah anda.
SEWAKAN SEBUAH RUMAH
Cara kedua untuk anda kaut keuntungan daripada subsewa adalah dengan menyewakan seluruh rumah sewa kepada individu atau keluarga yang lain.
Konsepnya adalah, anda sewa seluruh unit daripada tuan rumah kemudian rumah sewa tersebut disewakan kepada orang lain.
Tidak kira sama ada anda ingin sewakan setiap bilik secara berasingan ataupun terus sewakan seluruh unit tersebut kepada keluarga adalah bergantung pada kadar permintaan dan strategi anda.
SEWAKAN MENGIKUT INDIVIDU (PER HEAD)
Jika anda dapat mencari individu yang tidak kisah tentang jumlah penyewa dalam sesebuah rumah atau bilik, anda boleh sewakan mengikut harga sekepala.
Dengan harga mengikut individu, pastinya anda boleh mendapat pulangan yang menarik bergantung kepada jumlah penyewa rumah tersebut.
SEWAKAN RUMAH TANPA PERABOT
Menyewakan bilik atau rumah tanpa sebarang perabot kepada penyewa lain akan meningkatkan lagi potensi keuntungan sewa daripada kaedah subsewa ini.
Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan risiko daripada sebarang kerosakan disebabkan penyewa dan juga mengurangkan perbelanjaan anda untuk selenggara rumah sewa tersebut.
Namun, harus diingat anda masih perlu bertanggungjawab menjaga rumah sewa tersebut sebagai seorang penyewa. Sekurang-kurangnya, anda boleh mengurangkan beban penjagaan rumah yang anda sewa.
SEWAKAN RUMAH DENGAN PERABOT
Walau bagaimanapun, sekiranya anda memperoleh unit rumah sewa yang mempunyai perabot lengkap atau separa lengkap daripada tuan rumah anda, anda tidak perlu risau.
Unit yang lengkap atau separa lengkap dengan perabot mempunyai kelebihannya tersendiri kerana ia akan meningkatkan lagi nilai rumah sewa anda.
Oleh itu, anda boleh sewakan kepada golongan individu yang tidak mahu fikir banyak dan hanya ingin menyewa sahaja. Secara tidak langsung, ia akan meningkatkan lagi keuntungan sewa daripada subsewa tersebut.
SEWAKAN RUMAH SEBAGAI INAP DESA
Cara yang terakhir untuk anda mengaut keuntungan sewa daripada teknik sublet ini adalah dengan menyewakan sebahagian atau seluruh rumah yang anda sewa itu sebagai sebuah inap desa.
Konsep sewaan jangka masa pendek ini sangat terkenal khususnya di kawasan-kawasan yang pesat membangun seperti bandar-bandar utama.
Bilik atau rumah sewa anda akan menjadi tempat tumpangan oleh individu luar yang hanya ingin berehat dan bermalam dalam tempoh singkat kebiasaannya untuk dua atau tiga hari sahaja.
Jadi, anda boleh memanfaatkan konsep ini dengan menyiarkan iklan sewaan rumah atau bilik yang anda sewa itu ke platform-platform dalam talian.-UTUSAN





