PETALING JAYA: Desatera Sdn Bhd melancarkan TapaOTW by Dapur Brahim’s sebagai inisiatif pesanan makanan baharu yang menawarkan pilihan set makanan yang mudah, cepat dan berpatutan untuk pelanggan.
Lima menu pengenalan yang ditawarkan oleh TapaOTW by Dapur Brahim’s iaitu Set Nasi Ayam, Set Nasi Nusantara, Set Gulai Daging Lemak Cili Padi, Set Ayam Kicap Pedas, dan Set Nasi Minyak.
Ketua Pegawai Eksekutif Desatera Sdn Bhd, Datuk Feizal Nor Nurbi berkata, pilihan menu tersebut ditawarkan pada harga RM10.50 dengan setiap set sesuai untuk makan tengah hari, makan malam, atau apabila pelanggan memerlukan hidangan yang cepat dan mengenyangkan.
Ujarnya, ia juga turut ditawarkan dengan perkhidmatan yang disediakan untuk penghantaran atau servis ambil sendiri melalui laman web tapaotw.desatera.com.my.
“TapaOTW by Dapur Brahim’s diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan hidangan yang mudah ditempah, berpatutan dan sesuai untuk dinikmati setiap hari. Ia merupakan usaha kami untuk menawarkan pilihan makanan yang lebih mudah, berpatutan dan senang dinikmati oleh pelanggan.
“Dengan lima pilihan menu pada harga pengenalan RM10.50 untuk satu set, kami berharap inisiatif ini dapat memberi lebih banyak pilihan kepada pelanggan yang mahukan hidangan yang cepat dan menyelerakan.
“Pada masa yang sama, TapaOTW by Dapur Brahim’s mencerminkan usaha berterusan Desatera untuk memperluaskan penawaran Dapur Brahim’s, di samping menjadikan hidangannya lebih mudah diakses oleh pelanggan melalui pesanan dalam talian, penghantaran dan ambil sendiri,” jelasnya.
Para pelanggan digalakkan membuat tempahan dengan mengimbas kod QR pada poster rasmi atau melayari laman web tapaotw.desatera.com.my. – UTUSAN




