KUALA LUMPUR: Festival Emas Malaysia (MGF) edisi sulung menyasarkan nilai transaksi perniagaan sehingga RM100 juta sepanjang tiga hari penganjurannya di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Festival yang akan berlangsung pada 18 hingga 20 September ini dianjurkan oleh Persatuan Tukang Emas dan Barang Kemas India Malaysia (MIGJA), Persatuan Pajak Gadai Islam Malaysia (PEGIM), Persatuan Pajak Gadai Islam Malaysia, Province Wellesley Gold & Silver Ornament Merchants Association (PWGS).
Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng berkata, festival berkenaan yang menghimpunkan pemain industri emas tempatan dan antarabangsa memberi tumpuan kepada transaksi perniagaan kepada perniagaan (B2B) serta perniagaan kepada pengguna (B2C).
“Bagi tiga hari itu, kami menetapkan sasaran awal transaksi B2C sebanyak RM100 juta,” katanya kepada pemberita sempena sidang media pelancaran Festival Emas Malaysia (MGF) di sini hari ini.
Menurut beliau, MGF bukan sekadar acara jualan, sebaliknya menjadi platform untuk memperkukuh industri emas tempatan serta membantu pemain industri Malaysia berkembang di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Festival berkenaan akan diteruskan sebagai acara tahunan dengan matlamat utama mempromosikan produk dan perniagaan emas tempatan.
“Kami mahu membantu industri emas tempatan berjaya di peringkat nasional,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, perkembangan industri emas tempatan kekal positif walaupun berdepan harga emas yang tinggi pada tahun lalu.
Menurutnya, permintaan terhadap produk emas kembali menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga hingga empat bulan kebelakangan ini selepas mencatat sedikit kelembapan ketika harga emas berada pada paras tinggi.
Beliau turut melihat pertumbuhan ekonomi Malaysia sebagai antara faktor yang boleh menyokong perkembangan pasaran emas domestik.
“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam industri logam berharga dan barang kemas di peringkat serantau.
“Tahun lalu, Malaysia telah mengeksport barang kemas bernilai lebih RM10 bilion, yang mencerminkan kualiti, ketukangan serta daya saing produk buatan Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Louis berkata, pembangunan piawaian industri emas Malaysia kini berada pada peringkat akhir, dengan tujuh piawaian telah diselesaikan.
“Piawaian berkaitan syariah bagaimanapun memerlukan penelitian lanjut kerana ia merupakan aspek penting dalam pembangunan ekosistem industri emas Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, tujuh piawaian berkenaan dijangka dilancarkan pada 18 September, dengan penyertaan pemain industri dari beberapa negara Asia termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pada masa sama, jelasnya, Piawaian Pembuatan Emas Malaysia (MGMS) akan diperkenalkan sebagai piawaian khusus bagi sektor pembuatan emas, berbeza daripada piawaian yang berkaitan proses pembangunan industri.
“MGMS berbeza dengan piawaian lain kerana setiap proses dan peralatan dalam pembuatan produk emas mempunyai keperluan tersendiri,” katanya.
“Pembangunan piawaian itu penting bagi meliputi keseluruhan ekosistem industri emas Malaysia, termasuk aspek pembuatan, produk emas dan operasi perniagaan.
“MGF turut menghimpunkan syarikat tempatan dalam sektor emas dan barang kemas, selain membuka ruang kepada lebih banyak pemain industri tempatan untuk menyertai acara tersebut pada masa hadapan.
“Penganjuran festival itu dilihat mampu menjadi platform bagi memperluas pasaran produk emas buatan Malaysia, selain menggalakkan jaringan perniagaan antara pemain industri tempatan dengan rakan antarabangsa,” katanya. -UTUSAN






