SELEPAS 14 tahun mengharumkan nama Malaysia dalam sukan boling, pemain kebangsaan, Timmy Tan, 31, mahu menggunakan pengalamannya untuk melahirkan lebih ramai pelapis.
Impian itu bakal direalisasikan menerusi pembukaan pusat boling miliknya, Nation Bowl di pusat beli-belah, The Mines, Seri Kembangan, yang akan menjadi platform untuk mencungkil dan membangunkan bakat muda.
Dalam masa sama, pembukaan pusat berkenaan diyakini dapat membawa sukan boling ke tahap lebih tinggi, khususnya dalam usaha memastikan kesinambungan generasi pemain negara.
“Dengan adanya pusat ini, kanak-kanak seawal usia empat hingga lima tahun sudah boleh diperkenalkan kepada sukan boling.
“Ini sekali gus dapat memberi peluang kepada lebih ramai si cilik menyertai sukan ini sejak usia muda dan berharap suatu hari nanti dapat melahirkan seorang lagi juara untuk negara,” katanya ketika majlis menandatangani perjanjian baru-baru ini
Katanya, pembukaan pusat boling berkenaan juga menjadi satu pencapaian bermakna dalam perjalanan kerjayanya, selain membuka ruang kepada masyarakat untuk menikmati sukan itu dalam suasana lebih mesra.
Nation Bowl yang dilengkapi 28 lorong boling bertaraf kejohanan dijadualkan beroperasi pada Disember depan.
Selain ruang niaga dan kafe, ia turut menyediakan kemudahan akademi latihan bagi mereka yang ingin mempelajari serta mendalami sukan boling.
Menurut Timmy, akademi itu akan memberi tumpuan kepada latihan asas sebelum pemain dibimbing secara berperingkat untuk mengembangkan kemahiran mereka ke tahap lebih tinggi.
Langkah itu penting dalam usaha melahirkan lebih ramai pelapis sekali gus memastikan kesinambungan kecemerlangan Malaysia dalam sukan boling yang selama ini banyak menyumbang pingat di pentas antarabangsa.






