Bayangkan turbin pesawat turun dari langit, mendarat di pentas peragaan lalu bertukar menjadi gaun yang anggun. Kedengaran seperti babak filem sains fiksyen?
Sebenarnya, itulah pengalaman saya ketika berpeluang menyaksikan koleksi terbaharu graduan UiTM Shah Alam, Nur Atiqa’ Hidayah Qairyul Elfee atau mesra dipanggil Atiqa Syugaa. Percayalah, koleksi ini bukan sekadar cantik dipandang.
Ia mempunyai cerita, jiwa dan kuasa untuk membuat kita berfikir, “Wah, sejauh ini imaginasi anak muda Malaysia boleh terbang!”
Lulusan Dwi Ijazah Sarjana Muda Sains Tekstil dan Teknologi Fesyen serta Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen itu menamakan koleksinya, Engine’s Elegance. Inspirasi utamanya datang daripada teknologi kejuruteraan pesawat, khususnya turbin enjin.

Ya, turbin! Bukan bunga ros, rama-rama atau pemandangan matahari terbenam yang sering menjadi pilihan selamat. Atiqa memilih sesuatu yang keras, mekanikal dan teknikal, kemudian melembutkannya menjadi gaya feminin yang cukup memikat.
Keberanian inilah yang patut kita raikan. Atiqa pernah bercita-cita menjadi juruterbang atau jurutera pesawat, namun pandemik Covid-19 mengubah haluan hidupnya selepas SPM. Tetapi hidup, seperti penerbangan, kadangkala perlu menukar laluan kerana cuaca.
Bezanya, orang yang berani tidak berhenti. Mereka sentiasa mencari landasan baharu. Atiqa membawa cintanya terhadap fizik, matematik dan dunia penerbangan ke dalam dunia fesyen. Impiannya tidak terkubur tetapi bertukar ke mereka pakaian.
Koleksi ini mengolah struktur, fungsi dan teknologi pesawat melalui hiasan panel turbin tiga dimensi. Siluet aerodinamik dan binaan kain berlapis memberi ilusi pergerakan enjin yang berterusan.
Jalur reflektif pula bukan sekadar mahu glam apabila terkena cahaya, tetapi membawa simbol keselamatan dalam industri penerbangan.

Tiga rekaannya mewakili Motion, Precision dan Aerodynamic. Rekaan pertama menampilkan jaket dengan panel turbin di hadapan dan belakang, lengan berlapis seperti aliran udara serta skirt pensel berjalur reflektif berbentuk V.
Rekaan kedua pula hadir dengan cape pendek berjalur diagonal menyerupai sayap pesawat, dipadankan dengan gaun minimal futuristik berhias turbin besar.
Rekaan ketiga paling dramatik menerusi jaket cape oversized, panel turbin menegak dan gaun dengan jalur reflektif mendatar. Rekaanya tegas, moden dan langsung tidak meminta izin untuk mencuri perhatian.
Warna Cloud Dancer dalam rona khaki mengingatkan kita kepada pesawat komersial, manakala Plain Knitting Japan memberikan struktur yang kemas. Kain pengeras kapas nipis menyokong bentuk pakaian dan lapik kapas linen kelabu pekat memastikan keselesaan.
Malah, zipnya dihasilkan khas oleh Atiqa sendiri. Inilah bukti kemewahan sebenar bukan semata-mata pada harga, tetapi pada pemikiran dan ketelitian.
Bagaimana mahu membawa semangat Engine’s Elegance keluar dari pentas peragaan? Tidak perlu memakai turbin besar ketika membeli nasi lemak. Nanti makcik sambal pula hilang fokus. Ambil sahaja intinya. Padankan jaket berstruktur rona khaki dengan seluar potongan lurus atau skirt pensel.

Pilih satu perincian futuristik seperti beg metalik, kasut bergeometri atau aksesori perak. Jalur reflektif juga boleh muncul secara halus pada kasut, beg silang atau jaket sukan.
Bagi wanita bertudung, pilih tudung polos dalam warna kelabu asap, krim atau taupe supaya struktur pakaian kekal menjadi tumpuan. Gaya tudung yang kemas dan tidak terlalu berlapis akan menguatkan imej aerodinamik.
Bagi yang tidak bertudung, rambut sleek, sanggul rendah atau potongan bob memberikan sentuhan moden. Ingat petua emas ini. Apabila pakaian sudah ‘bercakap’, aksesori tidak perlu memegang mikrofon.






