PETALING JAYA: Penyanyi, Misha Omar menegur sikap segelintir netizen yang gemar melemparkan kata-kata kebencian terhadap individu lain hanya kerana tidak menyukai sesuatu perkara di media sosial.
Menurut Misha atau Samiha @ Aisha Omar, setiap individu harus melatih diri untuk tidak memberi tumpuan kepada perkara atau isu yang kurang disenangi demi menjaga keharmonian sesama manusia.
“Cuba menjadi manusia yang tidak suka bercakap tentang perkara yang kita tidak suka. Pilih untuk tidak bercakap mengenainya. Tidak perlu tengok pun perkara yang kita tidak suka itu.
“Teruskan melakukan perkara yang kita suka. Cuba buat. Insya-Allah, hidup kita akan lebih sejahtera, begitu juga dengan kehidupan orang lain. Ramai orang sayang nanti,” katanya menerusi sebuah sesi siaran langsung di TikTok.
Penyanyi lagu Bunga-Bunga Cinta itu turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menormalisasikan sikap suka melontarkan komen negatif terhadap individu lain demi meraih sokongan mahupun perhatian.
“Kurangkan merungut dan kurangkan bercakap tentang perkara yang kita tidak suka. Contohnya, ‘Meluatlah aku dengan Misha Omar itu.’ Tidak perlulah. Saya pun mungkin rasa tidak penting sama ada awak suka atau tidak kepada saya.
“Pada saya, saya seorang penghibur. Segala-galanya adalah hiburan. Saya terima apabila orang bercakap tentang saya. Suka hati awak kerana itu perspektif awak.
“Saya tidak perlu membetulkannya kerana itu bukan hak saya. Mulut awak, jari awak, hati awak dan minda awak, saya tidak ada masa untuk menjaga semua itu,” tegasnya.
Dalam masa sama, Misha turut menyarankan orang ramai supaya menyekat kandungan yang tidak disukai agar tidak terus mencetuskan ketegangan di media sosial yang kini sudah semakin toksik.
“Kalau kita tidak suka sesiapa pun, tidak perlu bercakap apa-apa mengenainya. Kalau tidak suka dengar orang menyanyikan lagu bernada tinggi, carilah lagu bernada rendah yang lebih santai.
“Tidak perlu bercakap tentang betapa kita tidak suka orang menyanyikan lagu tinggi-tinggi. Begitu juga kalau tidak suka artis yang tidak memakai tudung, tengoklah artis yang memakai tudung,” ujarnya.
Difahamkan, Misha berkata demikian selepas seorang individu memerli penyanyi, Aina Abdul di ruangan komennya ketika membuat sesi siaran langsung di TikTok, semalam.





