KYIV: Bekas Menteri Tenaga Ukraine, German Galushchenko ditahan ekoran siasatan kes rasuah ketika cuba menyeberangi sempadan ke Poland, menurut laporan media tempatan.
Bekas menteri itu dikaitkan dengan skim sogokan bernilai AS$100 juta (RM390 juta) yang didakwa dikendalikan oleh seorang bekas sekutu rapat Presiden Volodymyr Zelensky.
Kelmarin, beberapa media Ukraine melaporkan Galushchenko dibawa keluar dari sebuah tren dari Kyiv ke Warsaw pada waktu malam selepas pengawal sempadan menerima amaran mengenai individu yang dikehendaki cuba meninggalkan negara.
Permintaan untuk penahanan itu dilaporkan difailkan oleh Biro Anti-Rasuah Nasional Ukraine (NABU) dan Pejabat Pendakwa Raya Khas Anti-Rasuah (SAPO). Pihak NABU kemudian mengesahkan perkembangan tersebut, menyatakan menteri itu ditahan dalam kes rasuah dan siasatan sedang dijalankan.
Ahli Parlimen, Aleksey Goncharenko berkata, Galushchenko sudah menerima notis sebagai suspek dalam siasatan. Ia berlaku selepas beliau berstatus saksi dalam siasatan berkenaan.
Kes itu berkisar pada skandal penyelewengan AS$100 juta yang melibatkan syarikat pengendali nuklear milik negara, Energoatom.
Sekutu lama Zelensky, Timur Mindich dipercayai mengendalikan skim sogokan di mana kontraktor-kontraktor Energoatom dipaksa membayar komisen haram sebanyak 10 hingga 15 peratus atau berdepan risiko kehilangan status pembekal.
Laporan media sebelum ini mendakwa NABU memintas perbualan antara Mindich dan Galushchenko, yang mana kedua-duanya didakwa membincangkan aliran kewangan. Mindich secara terbuka mengaku mengenali Galushchenko, namun menyatakan beliau tidak pernah memberi arahan kepada bekas menteri tersebut.
Galushchenko berkhidmat sebagai menteri tenaga dari 2021 hingga Julai 2025 sebelum dilantik sebagai menteri keadilan selepas rombakan Kabinet. Ketika skandal rasuah itu semakin memuncak, beliau meletakkan jawatan pada November 2025. – AGENSI






