TEL AVIV: Tentera Udara Israel mengerahkan beberapa jet pejuang untuk mengiringi sebuah pesawat penumpang ke tempat selamat selepas seorang kanak-kanak menukar ‘hotspot’ Wi-Fi telefon ibu bapanya kepada perkataan pengganas dalam bahasa Arab.
Pesawat tersebut, penerbangan Wizz Air W95301, sedang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Ben Gurion, Israel dari Lapangan Terbang Luton, London pada petang Ahad lalu apabila seorang penumpang dilaporkan menerima mesej yang dianggap mengancam pada telefonnya.
Media Israel melaporkan bahawa mesej itu muncul pada telefon milik sepasang suami isteri ultra-Ortodoks.
Mesej yang disangka ancaman itu sebenarnya ialah nama hotspot Wi-Fi yang telah ditukar oleh anak mereka kepada perkataan Arab bagi pengganas yang dengan pantas mencetuskan panik.
Selepas Tentera Udara Israel mengerahkan beberapa jet pejuang, pesawat Wizz Air itu diiringi ke hab penerbangan Tel Aviv.
Data daripada laman penjejak pesawat, FlightRadar menunjukkan pesawat tersebut membuat tiga pusingan di atas Laut Mediterranean, selatan Cyprus sebelum mendarat di Israel.
Setibanya di lapangan terbang, penumpang-penumpang dan barangan mereka diperiksa oleh anjing pengesan bahan letupan.
Seorang jurucakap Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Israel memberitahu akhbar Times of Israel: “Pesawat telah mendarat dan didapati bahawa tiada sebarang insiden sebenar berlaku.”
Lalu lintas udara kembali normal selepas penerbangan ke dan dari Lapangan Terbang Ben Gurion dihentikan sementara.
Akhbar Daily Mail telah menghubungi Wizz Air untuk mendapatkan komen.
Insiden ini berlaku hanya beberapa minggu selepas sebuah pesawat penumpang terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Barcelona, Sepanyol selepas seorang wanita ternampak seorang penumpang lain membuat ancaman bom melalui telefonnya.
Pesawat Turkish Airlines itu yang berlepas dari Lapangan Terbang Istanbul dan mendarat di Lapangan Terbang El Prat, telah diiringi oleh jet-jet pejuang Sepanyol dan Perancis di ruang udara Laut Mediterranean.
Pesawat itu berpusing beberapa kali di udara sebelum mendarat. Polis kemudian mengepung pesawat tersebut dan menaikinya tidak lama selepas itu. – AGENSI






