PUTRAJAYA: Siasatan berkaitan laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) tidak terbatas kepada tempoh ditetapkan, sebaliknya melangkaui sebelum dan selepas waktu berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada halangan untuk badan penguatkuasaan menjalankan siasatan melangkaui tempoh yang menjadi fokus RCI berkenaan.
“Memang sekarang ini semua tindakan itu dan kajian, semua melangkaui RCI. RCI itu sebagai induk dia.
“Tak ada halangan kaji sebelum dan selepas dan ini yang dilakukan oleh badan penguatkuasaan dan penyiasatan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan menggesa kerajaan melanjutkan laporan RCI TH untuk 2021 hingga 2026 dan bukannya setakat 2014 hingga 2020.
Beliau mendakwa, penjualan dan pembelian aset TH turut berlaku pada 2021 hingga 2026 dan bukannya pada 2014 dan 2020.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menggesa kerajaan menubuhkan RCI baharu bagi menyiasat pengurusan dan operasi TH.
Ketika perbahasan di Dewan Rakyat mengenai laporan RCI TH, Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mencadangkan supaya siasatan baharu itu meliputi tempoh 2021 hingga 2025, memandangkan siasatan sedia ada hanya merangkumi tempoh 2014 hingga 2020.
Pada masa sama, RSN Rayer (PH-Jelutong) turut membangkitkan perkara sama dengan berkata, RCI baharu perlu ditubuhkan bagi menyiasat pengurusan TH dan mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab terhadap masalah kewangan serta pengurusan institusi berkenaan.
Beliau berkata, RCI sedia ada tidak lengkap kerana tidak mengenal pasti dengan jelas pihak yang perlu dipertanggungjawabkan atau dikenakan tindakan susulan. – UTUSAN






