BUCHAREST: Parti Demokratik Sosial Romania dan kumpulan ultra nasionalis pada Selasa berkata, mereka telah memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Ilie Bolojan.
Ia berlaku selepas gabungan pemerintah pro-Kesatuan Eropah (EU) pimpinannya berpecah menyebabkan tercetus krisis politik baharu di negara yang sudah lama dilanda ketidakstabilan.
Parti Demokratik Sosial (PSD), parti terbesar di parlimen, menarik diri daripada kerajaan gabungan Bolojan minggu lalu selepas beliau melaksanakan beberapa langkah tidak popular ketika negara Eropah Timur itu berusaha mengurangkan defisit terbesar dalam EU.
Pemimpin berfahaman ultra nasionalis, George Simion berkata partinya, AUR, telah memfailkan usul tidak percaya yang ditandatangani oleh 251 ahli parlimen daripada keseluruhan 465 kerusi, yang akan diundi pada 5 Mei.
“Jelas terdapat majoriti ahli parlimen yang mahu kerajaan ini berundur,” katanya kepada wartawan di parlimen.
PSD berkata, mereka menyokong usul tersebut.
“PSD telah berjaya mendapatkan sokongan majoriti parlimen untuk usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Ilie Bolojan,” katanya dalam satu kenyataan media.
“Sehubungan itu, PSD akan membawa perubahan besar dalam cara negara ditadbir, seperti yang dituntut oleh majoriti besar rakyat Romania,” tambahnya.
Ketua PSD, Sorin Grindeanu pada Isnin berkata, usul itu melangkaui perbezaan politik.
“Terdapat banyak perkara yang membezakan kita tetapi kita berkongsi matlamat bersama (iaitu) mengundi usul ini dan menjatuhkan kerajaan Bolojan,” katanya.
PSD menyertai gabungan pemerintah pro-EU pada Jun tahun lalu.
Langkah itu menamatkan beberapa bulan ketidaktentuan politik, termasuk pembatalan pilihan raya presiden berikutan dakwaan campur tangan Russia pada Disember 2024.
Langkah Bolojan seperti kenaikan cukai untuk mengurangkan defisit sebanyak 7.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) telah mencetuskan kemarahan PSD, yang melihat sokongan pengundinya semakin terhakis kepada kumpulan ultra nasionalis.
Pada Khamis minggu lalu, PSD berkata, ia terbuka untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan pro-Eropah baharu dan menyokong perdana menteri lain, sama ada ahli politik atau teknokrat.
Bolojan telah beberapa kali menyatakan beliau enggan meletak jawatan dan akan terus memimpin kerajaan. – AFP






