WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata bahawa rundingan yang sedang berlangsung dengan Iran kini dijalankan melalui telefon.
“Kami sedang berunding dengan mereka sekarang dan kami tidak lagi perlu terbang selama 18 jam setiap kali kami mahu melihat sekeping dokumen. Kami melakukannya melalui telefon,” kata Trump kepada wartawan pada Rabu di Rumah Putih, Washington DC.
Iran dan Amerika telah mengadakan rundingan di ibu negara Pakistan, Islamabad, pada 11 April, tetapi gagal mencapai persetujuan untuk menamatkan perang yang bermula pada 28 Februari.
Rundingan itu berlangsung selepas gencatan senjata selama dua minggu yang diusahakan Pakistan pada 8 April, yang kemudian dilanjutkan oleh Trump. Trump juga membatalkan lawatan yang dirancang ke Islamabad hujung minggu ini.
Trump mengaku bahawa beliau secara umumnya lebih menggemari pertemuan secara bersemuka.
“Saya sentiasa suka bersemuka. Saya anggap ia lebih baik. Tetapi, apabila anda perlu terbang selama 18 jam setiap kali mahu mengadakan mesyuarat dan anda tahu apa sebenarnya tujuan mesyuarat itu, ia memang tidak masuk akal,” katanya.
Beliau menyatakan sekali lagi bahawa sebarang perjanjian bergantung kepada Iran yang sepenuhnya meninggalkan cita-cita untuk memiliki senjata nuklear. – AGENSI






