WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu pemberita di Pejabat Oval, Rumah Putih bahawa beliau tidak berhasrat untuk melanjutkan perjanjian gencatan senjata sementara AS dengan Iran, yang ditandatangani pada pertengahan Jun dan berakhir pada Isnin.
“Tidak,” jawab Trump ketika ditanya sama ada beliau akan berusaha untuk melanjutkan gencatan senjata sementara itu.
Memorandum persefahaman (MoU) selama 60 hari dengan Iran pada awalnya dianggap sebagai satu langkah besar ke arah membuka semula Selat Hormuz dan menyediakan laluan untuk memuktamadkan perjanjian jangka panjang berhubung cita-cita nuklear Teheran.
Namun, perjanjian itu sebahagian besarnya tidak dipatuhi dalam tempoh beberapa minggu, apabila kedua-dua pihak berulang kali menuduh satu sama lain melanggar syarat yang dipersetujui.
Operasi ketenteraan kembali berlaku di rantau itu tidak lama kemudian dan pada pertengahan Julai, Trump mengisytiharkan bahawa gencatan senjata telah berakhir selepas AS bersama Israel menyerang Teheran pada 28 Februari lalu.
Sejak itu, Trump berulang kali menegaskan bahawa Iran mahu mencapai perjanjian damai dengan AS.
“Mereka mahu mencapai perjanjian, tetapi mereka tidak akan membuat perjanjian seperti yang saya rasakan perlu,” kata Trump di Pejabat Oval pada Isnin ketika ditanya sama ada kedua-dua pihak menunjukkan sebarang kemajuan.
Bagaimanapun, Teheran menafikan bahawa rundingan dengan AS sedang berlangsung.
Sebaliknya, Iran berkata. ia sedang mengadakan rundingan aktif dengan Oman mengenai perjanjian untuk membuka semula Selat Hormuz.
Laluan perairan itu sebahagian besarnya terhalang daripada transit komersial berbanding tahap sebelum perang, ketika kira-kira 20 peratus perdagangan minyak dunia melalui selat berkenaan.
Dalam satu hantaran di Truth Social pada pagi Isnin, Trump mengulangi pendirian AS bahawa Iran mesti bersetuju untuk tidak memiliki senjata nuklear.
“Matlamat nombor satu adalah dan akan sentiasa menjadi, bahawa Iran tidak boleh memiliki, dalam apa jua keadaan atau bentuk, senjata nuklear,” tulis Trump.
Jared Kushner, menantu Trump dan penasihat kanannya, memberitahu Fox pada Isnin bahawa Iran ketika ini tidak menunjukkan sebarang minat terhadap perjanjian yang boleh diterima oleh AS. – AGENSI






