WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meminta seorang wartawan wanita stesen penyiaran berita CNN, Kristen Holmes di Rumah Putih, Washington diam dalam sidang akhbar semalam.
Trump bertindak sedemikian selepas wartawan berkenaan bertanya mengenai hubungan Trump dengan pembantu peribadinya yang berusia 35 tahun, Natalie Harp.
Isu berkenaan kembali menjadi perhatian selepas Senator parti Demokrat, Jon Ossoff menyindir Trump dan Harp dalam satu perhimpunan di Georgia.
Ossoff dengan mendakwa Trump lebih rela membina dewan tari-menari dan mengembara bersama Natalie daripada menjalankan tugas sebagai presiden.
Holmes menanyakan maklum balas Trump berhubung kenyataan Ossoff tersebut.
Trump membalas dengan mengejek Ossoff dan mendakwa pentadbirannya sedang memperbaiki Rumah Putih yang tidak dijaga sebelum ini.
Harp yang berkhidmat sebagai antara pembantu terdekat Trump sejak sekian lama, sering digelar mesin pencetak manusia.
Ini kerana tugasnya membawa cetakan pelbagai artikel berita untuk dibaca oleh Trump.
Suasana menjadi tegang apabila Holmes cuba mengemukakan soalan susulan mengenai Korea Selatan sebelum Trump selesai bercakap.
Bagaimanapun, Trump berkata; :”Diam. Diam. Diam. Anda (Holmes) sangat tidak menghormati pemuda ini.”
Trump merujuk Nathaniel Rai, seorang budak lelaki berusia 10 tahun yang dijemput ke Rumah Putih selepas diselamatkan daripada lemas di California.
Dalam kejadian itu, Holmes memberitahu Trump bahawa beliau bekerja dengan CNN.
Ini menyebabkan Trump berkata: “Anda seorang yang bising dan lantang. Anda (Holmes) berita palsu,” tambah Trump sambil terus mengarahkan wartawan berita itu untuk berdiam diri. – AGENSI






