WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) meluluskan penjualan senjata bernilai AS$8.6 bilion (RM34 bilion) kepada sekutu-sekutunya di Asia Barat di tengah perang Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap Iran.
Penjualan itu dibuat selepas Setiausaha Negara AS, Marco Rubio menggunakan alasan keadaan darurat untuk mempercepatkan pemindahan senjata tanpa semakan awal oleh Kongres Amerika.
Israel dan negara-negara Teluk berdepan gelombang serangan peluru berpandu dan dron dari Iran sejak bermulanya perang pada penghujung Februari.
Serangan itu menyebabkan stok senjata buatan AS berkurangan dan memberi tekanan kepada sistem pertahanan udara negara-negara tersebut.
Penjualan itu termasuk pemindahan sistem senjata pemusnah tepat canggih (APKWS) dan peralatan berkaitan kepada Israel bernilai AS$992 juta (RM4 bilion), serta pembelian sistem arahan tempur oleh Kuwait bernilai AS$2.5 bilion (RM10 bilion).
Qatar pula diluluskan untuk membeli APKWS dan menambah semula stok sistem pertahanan udara serta peluru berpandu Patriot pada kos hampir AS$5 bilion (RM20 bilion). Emiriah Arab Bersatu diluluskan AS membeli APKWS bernilai AS$148 juta (RM587 juta).
Dalam beberapa pengumuman pada Jumaat, Jabatan Pertahanan AS berkata, pihaknya telah memberikan justifikasi terperinci mengenai situasi darurat yang memerlukan penjualan tersebut demi kepentingan keselamatan negara AS. – AGENSI






