BUDAPEST: Bekas menteri kehakiman Poland, Zbigniew Ziobro yang dikehendaki atas beberapa pertuduhan jenayah di negara asalnya, telah melarikan diri dari Hungary ke Amerika Syarikat (AS), menurut pengesahannya pada Ahad selepas laporan media tempatan.
“Saya berada di Amerika. Saya tiba semalam (Sabtu) dan ini kali ketiga saya mengembara di negara itu,,” kata Ziobro kepada penyiar berhaluan kanan Republika
Ziobro, yang menerima suaka daripada kerajaan Hungary, sekutu pimpinan perdana menteri negara tersebut ketika itu, Viktor Orban tahun lalu, berdepan hukuman penjara sehingga 25 tahun di Poland jika disabitkan atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Antara pertuduhan itu termasuk penyalahgunaan kuasa, mengetuai perusahaan jenayah terancang dan menggunakan dana diperuntukkan untuk mangsa jenayah bagi membeli perisian pengintip Israel, Pegasus, yang didakwa digunakan untuk memantau lawan politik.
Selepas parti Orban disingkirkan daripada kuasa dalam pilihan raya April lalu, Perdana Menteri baharu Hungary, Peter Magyar yang mengangkat sumpah pada Sabtu dan berkata bahawa negaranya tidak lagi akan melindungi individu yang dikehendaki di negara lain.
“Hungary tidak lagi akan menjadi tempat perlindungan bagi penjenayah yang dikehendaki di peringkat antarabangsa,” katanya kepada wartawan sehari selepas kemenangan beliau.
Magyar menamakan Ziobro dan bekas timbalannya, Marcin Romanowski yang disyaki menyeleweng hampir 40 juta euro (RM185 juta).
Penyiar Republika sebelum ini melaporkan pada Ahad bahawa Ziobro berada di AS. Badan penyiaran liberal TVN24 menyiarkan gambar Ziobro di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty, AS yang menurutnya dirakamkan oleh seorang pengembara lain.
Tidak jelas bagaimana Ziobro berjaya ke Amerika memandangkan Budapest sebelum ini menyatakan dokumen perjalanannya termasuk pasport Poland dan diplomatik telah dibatalkan.
Portal berita tempatan Onet melaporkan bahawa Ziobro menerima visa wartawan AS yang dikaitkan dengan Republika. – AFP






