NEW DELHI: Bintang filem India, C. Joseph Vijay mengangkat sumpah sebagai ketua menteri negeri Tamil Nadu pada Ahad selepas parti baharunya berjaya membentuk gabungan di hab perindustrian selatan India itu.
Majlis angkat sumpah itu berlangsung selepas beberapa hari drama politik di ibu negeri Chennai, apabila parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) pimpinan Vijay pada awalnya bergelut mendapatkan sokongan parti-parti kecil selepas pilihan raya negeri.
TVK yang diasaskan hanya dua tahun lalu muncul sebagai parti tunggal terbesar selepas memperoleh 108 kerusi dalam dewan undangan negeri Tamil Nadu yang mempunyai 234 kerusi, namun masih tidak cukup untuk majoriti mudah.
Bagaimanapun, parti itu berjaya mendapat sokongan parti lain termasuk pembangkang Indian National Congress, meningkatkan jumlah kerusinya kepada 120 dan membolehkan Vijay menuntut jawatan tertinggi neger itersebut.
Ribuan penyokong berkumpul di Stadium Jawaharlal Nehru di Chennai pada Ahad sambil melaungkan Mudhalvar, yang bermaksud ketua menteri dalam bahasa Tamil, untuk menyaksikan Vijay mengangkat sumpah jawatan.
“Saya bukan datang daripada latar belakang politik, saya hanya orang biasa,” kata lelaki berusia 51 tahun itu kepada orang ramai.
“Fokus utama saya adalah isu asas seperti pendidikan, bekalan makanan bersubsidi, penjagaan kesihatan, air minuman, jalan raya dan kemudahan bas,” tambahnya.
Dasar pertama Vijay termasuk langkah mengurangkan harga elektrik dan meningkatkan keselamatan wanita.
Perdana Menteri India, Narendra Modi mengucapkan tahniah kepada Vijay dan berkata, kerajaan pusat akan bekerjasama dengan pentadbirannya untuk meningkatkan kehidupan rakyat.
Vijay yang dilahirkan oleh bapa beragama Kristian dan ibu beragama Hindu memulakan kerjaya sebagai pelakon kanak-kanak pada 1984 menerusi filem arahan bapanya yang juga seorang pengarah filem.
Dikenali dengan karisma di layar perak dan pengaruh besar dalam kalangan peminat, beliau digelar Thalapathy atau pemimpin dalam bahasa Tamil.
Filem-filem pecah panggung lakonannya menggabungkan aksi, mesej sosial dan tema populis, sehingga mengukuhkan reputasinya sebagai suara rakyat biasa.
Beliau membina imej awam selama bertahun-tahun dengan membawa watak yang menyentuh isu seperti nasib petani dan manipulasi pilihan raya.
Vijay melancarkan TVK pada 2024 dengan janji untuk menamatkan rasuah dan memperkukuh keadilan sosial. – AFP






