NEW DELHI: Parti nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi, meraih kemenangan besar pada Isnin dalam pilihan raya penting di negeri Bengal Barat dikuasai pembangkang menyebabkan kubu kuat yang sekian lama dipegang lawannya ditawan.
Pengiraan undi masih berlangsung di bawah kawalan keselamatan ketat di negeri yang mempunyai lebih 100 juta penduduk, merupakan satu daripada lima negeri serta wilayah yang mengadakan pilihan raya pada April dan Mei, dengan keputusan diumumkan kelmarin.
Namun, keputusan terkini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya India menunjukkan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi memenangi 206 daripada 294 kerusi dalam dewan undangan, menandakan kemenangan pilihan raya pertamanya di Bengal Barat.
BJP kembali berkuasa di negeri Assam di timur laut untuk kali ketiga berturut-turut dan wilayah pantai kecil Puducheryy, di mana ia merupakan sebahagian daripada gabungan pemerintah.
Keputusan itu dijangka mengukuhkan kedudukan Modi ketika beliau berdepan pelbagai cabaran ekonomi dan dasar luar, termasuk kadar pengangguran tinggi serta rundingan perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) yang masih tertangguh, menjelang pilihan raya umum pada 2029.
“Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Bengal Barat 2026 akan dikenang selama-lamanya. Kuasa rakyat mengatasi segalanya dan politik tadbir urus BJP berjaya.
“Kemenangan besar BJP di Bengal Barat tidak mungkin tercapai tanpa usaha dan perjuangan tidak terkira para petugas selama beberapa generasi,” kata Modi, 75, dalam hantaran di media sosial.
Pemimpin kanan parti dan ribuan penyokong meraikan kemenangan di jalanan ibu negeri, Kolkata dengan penuh kegembiraan.
BJP, parti pemerintah di peringkat parlimen, melancarkan kempen agresif untuk menyingkirkan parti serantau berpengaruh pimpinan Mamata Banerjee yang memerintah Bengal Barat sejak 2011.






