WASHINGTON: Sebuah lebuh raya sibuk berhampiran Taman Negara Yellowstone di negeri Montana dan Idaho bertukar menjadi medan ‘igauan ngeri’ apabila sebuah lori treler yang membawa muatan dianggarkan 250 juta ekor lebah terbalik.
Gambar-gambar di lokasi kejadian di sepanjang Lebuh Raya AS 191 baru-baru ini menunjukkan kenderaan berat itu tersadai di sisi jalan, menyaksikan ribuan sarang lebah yang rosak bertaburan di atas jalan raya.
Insiden tersebut dengan pantas bertukar menjadi situasi berbahaya apabila kawanan lebah yang agresif dan ‘berang’ mula menyerang kawasan sekitar. Malah, anggota penguat kuasa mukim Gallatin yang sedang mengawal lalu lintas di tempat kejadian dilaporkan mengalami sembilan sengatan.
Menurut seorang saksi dari Yellowstone Barat, Montana, Dalton Broadus, kumpulan lebah terbabit mula menyerang kenderaannya sebaik sahaja dia memberhentikan kereta berhampiran lokasi kemalangan.
Susulan kejadian itu, kenderaan kecemasan, dua buah lori tunda dan penternak lebah yang memakai pakaian pelindung khas dikejarkan ke lokasi. Mereka kemudian menilai kerosakan dan memulakan usaha menyelamatkan sarang-sarang berkenaan.
Sementara itu, seorang pelabur merangkap penternak lebah dari Cheyenne, Michael Jordan, menyifatkan kemalangan tersebut sebagai satu kerugian besar selepas menonton rakaman video di tempat kejadian.
“Berdasarkan keadaan yang dilihat, saya rasa mungkin hanya sekitar 40 hingga 50 peratus sahaja daripada muatan itu yang boleh diselamatkan.
“Boleh ada sehingga 1,000 kotak seperti itu dalam satu muatan,” katanya.
“Ia melibatkan kawasan yang sangat panjang, jadi saya menjangkakan mereka terpaksa berdepan dengan tempoh getir selama tiga hari untuk menyelesaikan ujian ini,” katanya.
Menurut Jordan, sebuah kotak madu boleh mengandungi antara 75,000 hingga 125,000 ekor lebah. Setiap kotak berharga sekitar AS$500 (RM2,069) dan mampu menjana hasil pengeluaran madu kira-kira AS$2,000 (RM8,276). – AGENSI






