PARIS: Parlimen Kesatuan Eropah (EU) pada Rabu meluluskan peraturan migrasi yang lebih ketat, termasuk memberi kuasa lebih luas kepada pihak berkuasa untuk menahan migran haram.
Peraturan itu juga membolehkan penubuhan pusat penghantaran pulang imigran haram di luar sempadan blok itu.
Undian di Strasbourg menyaksikan rang undang-undang tersebut diluluskan dengan 418 undi menyokong berbanding 218 menolak, sekali gus melepasi antara halangan terakhir dalam proses perundangan EU yang panjang ketika negara-negara anggota berdepan tekanan politik untuk mengekang migrasi.
“Hari ini (kelmarin) Eropah telah menunaikan tanggungjawabnya. Orang ramai sememangnya mengharapkan mereka yang tidak mempunyai hak untuk tinggal dipulangkan ke negara asal masing-masing,” kata ahli parlimen Belanda dari kelompok tengah, Malik Azmani yang menaja rang undang-undang itu.
Keputusan itu disambut sorakan dan laungan ‘hantar mereka pulang’ oleh ahli parlimen berhaluan kanan jauh, manakala wakil blok kiri membalas dengan laungan ‘malu kepada kamu’, mencerminkan perpecahan mendalam terhadap undang-undang yang dikritik hebat oleh kumpulan hak asasi manusia.
Antara peruntukan utama ialah membenarkan negara anggota menubuhkan pusat penghantaran pulang di luar EU, yang boleh menempatkan migran yang tidak mempunyai hak untuk kekal di blok tersebut.
Denmark, Austria, Greece, Jerman dan Belanda antara negara yang sedang meneliti pilihan untuk mewujudkan pusat berkenaan.
Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis berkata, negaranya menyasarkan perjanjian pertama bagi mewujudkan kemudahan itu dapat dimeterai pada tahun ini supaya ia boleh mula beroperasi pada 2027.
Idea yang sebelum ini dianggap pinggiran turut menerima sokongan lebih meluas apabila kebanyakan negara EU pada Selasa bersetuju untuk mendapatkan pembiayaan EU bagi mengendalikan pusat tersebut, walaupun ditentang Perancis dan Sepanyol.
Kerajaan Eropah sejak beberapa tahun kebelakangan ini mengambil pendirian lebih tegas susulan perubahan sentimen awam terhadap migrasi yang menyumbang kepada peningkatan sokongan terhadap parti-parti kanan jauh di seluruh benua.
Walaupun jumlah ketibaan migran menurun pada 2025, tumpuan kini beralih kepada usaha memperkemaskan sistem penghantaran pulang. Pada masa ini, kurang 30 peratus individu yang diarahkan meninggalkan EU benar-benar dihantar pulang ke negara asal mereka.
Selain pusat pemulangan, peraturan baharu itu mewajibkan migran yang dikenakan perintah pengusiran supaya meninggalkan negara berkenaan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.
Mereka yang gagal berbuat demikian, dianggap berisiko melarikan diri atau menimbulkan ancaman keselamatan boleh ditahan sehingga dua tahun. – AFP






