PYONGYANG: Korea Utara mengecam latihan ketenteraan bersama yang bakal disertai puluhan ribu tentera Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan dengan memberi amaran Pyongyang mungkin bertindak dengan langkah pencegahan yang lebih kuat, menurut kenyataan Kementerian Luar negara itu.
Latihan selama 11 hari yang dijadualkan bermula Isnin itu merupakan acara tahunan yang bertujuan memperkukuh kesiapsiagaan AS dan Korea Selatan menghadapi sebarang ancaman daripada Korea Utara yang memiliki senjata nuklear.
Latihan itu dikenali sebagai Ulchi Freedom Shield, akan melibatkan 18,000 askar Korea Selatan bersama 28,500 anggota tentera AS yang ditempatkan di negara itu.
Pyongyang menyifatkan latihan tersebut sebagai persiapan untuk pencerobohan. Pada awal minggu ini, ia melancarkan peluru berpandu balistik ke Laut Jepun sebagai tanda penentangannya terhadap latihan berkenaan.
“Prinsip kami yang konsisten dalam menjamin keselamatan adalah untuk bertindak balas terhadap setiap ancaman baharu dengan langkah pencegahan pada tahap baharu,” kata jurucakap Kementerian Luar Korea Utara dalam kenyataan awal Jumaat.
Menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi KCNA pada Jumaat, pegawai itu berkata, Pyongyang tidak akan bertolak ansur dengan situasi konfrontasi serius yang diwujudkan oleh negara-negara musuh.
Kenyataan itu mendakwa latihan berkenaan bertujuan melengkapkan persiapan untuk konfrontasi ketenteraan sebenar dengan Pyongyang.
“Ini sama sahaja dengan pengakuan bahawa acara disifatkan AS dan Korea Selatan sebagai latihan ‘tahunan’ dan defensif’ sebenarnya merupakan persiapan untuk perang agresif,” menurut kenyataan itu.
Korea Utara kini memainkan peranan lebih aktif dalam konflik antarabangsa, khususnya dengan menyokong Russia dalam perang di Ukraine, selain menghantar anggota tenteranya bagi memperoleh pengalaman penting dalam medan perang moden.
Jurucakap itu berkata, latihan berkenaan turut mempersiapkan tentera untuk kemungkinan berdepan anggota Korea Utara yang telah memperoleh pengalaman tempur selepas dikerahkan bersama pasukan Russia di Ukraine. – AGENSI






