WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mendesak Israel supaya mematuhi komitmen dan segera mengundurkan tentera dari Lubnan selepas Menteri Pertahanannya, Israel Katz menegaskan pasukannya akan kekal berada di selatan negara itu.
Berdasarkan rangka kerja yang dipersetujui dengan pengantaraan AS pada 26 Jun, Israel bersetuju mengundurkan tenteranya dari wilayah yang kini didudukinya di selatan Lubnan. Ia adalah sebagai pertukaran kepada komitmen kerajaan Lubnan untuk melucutkan senjata Hizbullah dan menjadikan tenteranya sebagai satu-satunya kumpulan bersenjata yang sah di negara itu.
Ketika mengadakan lawatan ke wilayah yang diduduki itu, Katz berkata, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) akan kekal berada di zon keselamatan di Lubnan, Syria dan Gaza.
“AS menjangkakan semua pihak bertindak selaras dengan rangka kerja perjanjian yang telah dipersetujui,dan Israel sudah menyatakan dengan jelas mereka tidak mempunyai tuntutan wilayah di Lubnan.
“Kehadiran tentera Israel secara kekal di selatan Lubnan bercanggah dengan komitmen yang diberikan dalam rangka kerja perjanjian itu dan tidak selaras dengan kepentingan keamanan serta keselamatan jangka panjang kedua-dua negara,” kata seorang pegawai Jabatan Negara kepada wartawan Axios, Barak Ravid.
Israel kini menguasai kira-kira 600 kilometer persegi kawasan di selatan Lubnan, termasuk sebahagian wilayah di utara Sungai Litani. Sementara itu, IDF telah memusnahkan puluhan kampung, manakala pendudukan itu menyebabkan lebih 1.2 juta orang awam Lubnan dipaksa meninggalkan kediaman mereka.
Katz berkata, beliau mengarahkan IDF mengambil semua langkah yang diperlukan bagi mempersiapkan kehadiran jangka panjang di kawasan berkenaan.
“Seperti yang dinyatakan dengan jelas oleh Perdana Menteri (Benjamin Netanyahu) dan saya, kami tidak akan berundur dari zon keselamatan ini dalam apa jua keadaan sekalipun, kami tidak akan berundur,” katanya.
Netanyahu sebelum ini mencadangkan rejim itu mungkin merampas secara kekal kawasan tertentu di selatan Lubnan.
Dalam temu bual dengan Fox News bulan lalu, beliau mendakwa beberapa kampung Kristian di Lubnan sebenarnya meminta untuk dimasukkan ke dalam wilayah Israel yang kononnya melindungi mereka daripada golongan fanatik Hizbullah yang mahu membunuh mereka.
Netanyahu tidak menamakan kampung-kampung berkenaan. Bagaimanapun, lebih 12 pemimpin masyarakat Kristian tempatan di selatan Lubnan mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan itu sebagai rekaan sepenuhnya dan tidak mempunyai kaitan dengan realiti.
Perang dan pendudukan Israel di Lubnan turut menjejaskan secara langsung rundingan damai antara AS dan Iran.
Memorandum persefahaman (MoU) yang dipersetujui Washington dan Teheran pada 17 Julai dilaporkan menggesa penamatan segera dan kekal operasi ketenteraan di semua barisan, termasuk di Lubnan, tetapi klausa itu tidak dipatuhi Israel.






