WASHINGTON: Idea penggodam merampas kawalan pesawat dalam tempoh kurang seminit mungkin kedengaran seperti plot filem sains fiksyen Hollywood.
Namun, sebuah kajian baharu mendedahkan ancaman berkenaan kini mampu direalisasikan menggunakan peranti sebesar syiling 10 pence (RM0.54) Britain.
Kumpulan saintis dari Universiti California San Diego berjaya membangunkan peranti khas yang berupaya memintas dan menguasai komunikasi antara dua komputer utama di dalam pesawat.
Sistem itu melibatkan komputer pengurusan penerbangan. Ia juga menyasarkan komputer yang memaparkan maklumat laluan penerbangan di dalam kokpit pesawat.
Bagi mengambil alih pesawat Boeing 737, penggodam hanya perlu menyambungkan peranti itu ke port akses yang terletak di bahagian bawah perut pesawat.
Menurut penyelidik, serangan fizikal sedemikian hanya mengambil masa kurang 60 saat untuk dilakukan pada pesawat Boeing 737, sama ada ketika ia diletakkan di pintu perlepasan mahupun di dalam hangar lapangan terbang.
“Kami yakin dapat membuktikan bahawa akses fizikal terhad (contohnya 60 saat) merupakan sasaran realistik bagi penyerang yang bermotifkan kejahatan,” kata kumpulan penyelidik tersebut dan menegaskan impak daripada akses singkat itu amat signifikan.
Secara amnya, akses fizikal ke atas pesawat sebelum ini tidak dianggap sebagai risiko keselamatan siber yang besar. Bagaimanapun, pasukan itu menjalankan kajian untuk menguji sejauh mana penyerang berupaya mengeksploitasi sistem dalaman pesawat sekiranya mendapat akses fizikal.
“Matlamat penyelidikan ini adalah untuk memberi peringatan awal kepada komuniti penerbangan berhubung risiko kategori ini agar langkah pencegahan dapat diambil sebelum ia menjadi ancaman baharu,” jelas salah seorang pengarang kanan kajian, Aaron Schulman.
Semasa mengkaji struktur Boeing 737, pasukan itu menemui port penyelenggaraan yang tidak digunakan di dalam ruang Peralatan dan Elektronik (E&E bay). Ia merupakan ruang yang menempatkan sistem elektronik utama pesawat.
Ruang yang terletak di bawah bahagian hidung pesawat itu didapati boleh dicapai dari aras tanah tanpa perlu dikunci. – AGENSI






