BAITULMUQQADIS: Pergerakan Hamas menunggu Amerika Syarikat (AS) memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dan kerajaannya mematuhi pelan jalan damai yang dipersetujui pada Julai.
Ini kerana walaupun pergerakan itu bersetuju dengan rancangan untuk melucutkan senjata, Netanyahu kemudian menolaknya, sekali gus menjejaskan prospek keamanan di wilayah Palestin itu.
Menurut AS dalam pelan tersebut, simpanan senjata Hamas akan dikendalikan oleh Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza (NCAG), sebuah badan teknokrat Palestin yang ditubuhkan pada Januari untuk mentadbir wilayah itu buat sementara waktu.
Namun, NCAG masih belum dibenarkan memasuki Semenanjung Gaza. Ini kerana Israel enggan membenarkan badan itu memasuki wilayah berkenaan.
Bagaimanapun, perjanjian itu masih terbantut buat masa ini.
Walaupun Washington mahu mengaitkan pelucutan senjata Hamas dengan pengunduran tentera Israel secara berperingkat dari Gaza, Israel pula berkata bahawa tiada pengunduran akan dilakukan tanpa pelucutan senjata sebenar oleh Hamas.
“Israel tidak menerima dokumen 15 perkara itu (pelan damai yang ditaja AS),” kata Netanyahu sebelum ini.
“IDF (Pasukan Pertahanan Israel) tidak akan melakukan sebarang pengunduran sehingga Hamas dilucutkan senjata,” tambahnya.
Menyentuh tentang perkara itu, profesor sains politik di Universiti Terbuka Israel, Dennis Charbitt berkata: “Sejurus fasa pertama perjanjian itu ditandatangani pada Oktober 2025, rakyat Israel sentiasa beranggapan bahawa gencatan senjata tersebut lambat laun akan digagalkan.”
Hamas bagaimanapun menegaskan bahawa pihaknya mematuhi perjanjian tersebut.
“Kami terus menunggu tekanan daripada pihak pengantara dan AS terhadap Netanyahu dan kerajaannya supaya memaksa beliau mematuhi peta jalan tersebut,” kata anggota biro politik Hamas, Bassem Naim, kepada AFP.
Susulan itu, Ketua politik Hamas, Khalil al-Hayya berangkat ke Kaherah pada petang Sabtu untuk mengadakan rundingan dengan pegawai Mesir, menurut sumber Hamas kepada AFP, menjelang lawatan utusan Presiden AS, Donald Trump, Jared Kushner, ke rantau itu.
Hayya, yang mengunjungi Mesir buat kali pertama sejak mengambil alih kepimpinan Hamas pada akhir Julai kemudian bertemu Ketua Perisikan Mesir, Hassan Rashad pada pagi Ahad, kata sumber berkenaan.
Kushner akan mengunjungi Israel dan Mesir minggu depan dengan harapan dapat merapatkan jurang perbezaan berhubung pelan Gaza yang ditolak Netanyahu. Beliau akan ditemani Nickolay Mladenov, wakil tertinggi bagi Gaza yang ditugaskan untuk melaksanakan perjanjian tersebut.
Lawatan itu dilakukan selepas Netanyahu secara terbuka menolak pelan 15 perkara yang diumumkan Mladenov. Ia menyaksikan Hamas bersetuju menyerahkan senjatanya kepada sebuah jawatankuasa pentadbiran Palestin baharu di Gaza.
Seorang pegawai Lembaga Keamanan berkata, Kushner dan Mladenov berharap dapat mengadakan perbincangan yang membina bagi memajukan pelan keamanan Trump secara keseluruhan, yang bermula dengan pengisytiharan gencatan senjata pada Oktober 2025 tetapi belum menghentikan, serangan Israel di Gaza.






